KUCHING: Masyarakat perlu melakukan pencegahan awal sebelum katarak mata sampai pada tahap kritikal, kata Pakar Oftalmologi Sarawak Dr Chieng Lee Ling.

Beliau berkata, pelbagai salah faham masyarakat berkaitan katarak yang menganggap katarak perlu matang sebelum melakukan pembedahan.

“Pesakit tidak perlu menunggu sehingga katarak matang untuk melakukan pembedahan kerana kadangkala ia akan menyukarkan pembedahan.

“Setelah penglihatan terjejas, anda dinasihati menjalani pembedahan segera tanpa perlu menunggu katarak matang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas perasmian Hari Penglihatan Sedunia 2020 secara maya di SMA-Tegas, Icom Square di sini, pada Khamis.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr. Chin Zin Hing dan Pengarah Hospital Umum Sarawak Dr. Ngian Hie Ung turut hadir.

Menurutnya, pembedahan tersebut hanya mengambil masa sekitar 15 minit dan pesakit tidak perlu dimasukkan ke dalam wad.

“Mengapa perlu menderita untuk tempoh yang lama sedangkan anda boleh melakukan pembedahan awal? “Rawatan untuk katarak amat mudah, risiko rendah dan merupakan salah satu pembedahan yang selamat di dunia.

“Kebanyakan pesakit tidak melakukan pembedahan kerana takut dan kami tidak mahu ini berlaku,” jelasnya. Selain itu jelasnya, pelbagai program disediakan turut merangkumi kesihatan mata golongan kanakkanak.

“Kami turut melakukan pemeriksaan kanak-kanak di tadika. Jika berlaku ambliopia atau mata malas melibatkan kanak-kanak seawal usia 8 tahun, ia tidak dapat dirawat.

“Masalah ini perlu dirawat sebelum kanak-kanak berusia 8 tahun. Ini mesej kami kepada mereka di luar sana,” tegas beliau.

Lee Ling menegaskan, masyarakat jangan teragak-agak untuk mendapatkan nasihat awal daripada pakar mata.