KUALA LUMPUR: Mana-mana sekolah yang dikesan mempunyai kes positif COVID-19 perlu ditutup selama tujuh hari, tanpa menunggu analisis risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 pagi tadi, susulan trend peningkatan kes COVID-19 ketika ini.

“Penutupan ini bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan, disinfeksi dan pengesanan kontak rapat dijalankan oleh KKM.

“Dalam hal ini, sekolah yang mempunyai kes positif COVID-19 perlulah mematuhi garis panduan penutupan sekolah yang akan dikeluarkan oleh KPM,” demikian menurut kenyataan KPM, malam ini.

KPM turut memaklumkan, bagi murid sekolah berasrama penuh di zon merah COVID-19, mereka hendaklah kekal di asrama, manakala murid sekolah berasrama di zon hijau tetapi rumah keluarga di zon merah, juga perlu kekal di asrama.

“Pihak sekolah akan menguruskan keselamatan dan kebajikan murid-murid berkenaan di asrama.

“Dalam tempoh penutupan sekolah ini, pentadbir sekolah diarah memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah. Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my,” jelas kenyataan itu.

KPM menegaskan kementerian itu sentiasa memantau situasi penularan wabak COVID-19 yang melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM.

Namun, sebarang keputusan termasuk penutupan sekolah yang dibuat KPM adalah berdasarkan penelitian terhadap data serta perbincangan terperinci dengan KKM dan MKN.

Sejak sekolah dibuka semula mulai 24 Jun 2020, sebarang keputusan untuk menutup kelas atau menutup sekolah adalah berdasarkan arahan daripada KKM dan di sepanjang tempoh itu, sekiranya Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengesan terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan murid, guru dan warga sekolah, PKD akan membuat analisa risiko secara menyeluruh ke atas jangkitan kes berkenaan.

Hari ini (9 Okt) Sekolah Kebangsaan Presint 8 (1), Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Sekolah Kebangsaan Bangsar, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, diarah tutup mulai hari ini sehingga 16 Okt susulan terdapat kes positif membabitkan warga sekolah itu.– BERNAMA