PADAWAN: Tindakan tiga remaja lelaki yang menunggang motosikal dengan aksi ‘Superman’ dan ‘Wheelie’ di Jalan FAC Matang Jaya menerima padah apabila ditahan polis semalam.

Aksi berbahaya ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 17, 18, dan 19 tahun itu disedari anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik(JSPT) Padawan yang melakukan operasi pemantauan di lokasi bermula jam 10 malam hingga 6 pagi.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, kesemua suspek pada awalnya dilihat melakukan aksi berbahaya itu bermula dari Jalan Matang Jaya sebelum anggota bertindak mengejar mereka untuk tindakan lanjut.

“Kejadian bermula dengan seorang penunggang motosikal dilihat melakukan aksi sebanyak dua kali dengan mengangkat tayar hadapan bermula dari Jalan Matang Jaya menghala ke lampu isyarat Kopodim.

“Suspek kedua dan ketiga pula melakukan tunggangan ala superman dengan mengangkat kaki ke belakang serta meniarap dari arah Bau ke lampu isyarat Kopdim dan Jalan Matang Jaya,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua suspek telah berjaya ditangkap setelah mereka memberhentikan motosikal masing-masing di lampu isyarat berkenaan.

Katanya, suspek kini ditahan di lokap balai polis Siburan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya dengan menunjukkan aksi.

Sementara itu dedahnya, sebanyak 31 imdividu dan 15 buah kenderaan jenis motosikal telah diperiksa pada operasi semalam.

Ujarnya, polis turut mengeluarkan sebanyak 19 keping saman di bawah Pol 257.