SEPANJANG lapan tahun saya bergelar wartawan, saya menyifatkan Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud sebagai seorang yang tajam pemikiran meskipun menginjak usia 84 tahun.

Malah, saya berkesempatan menjadi wartawan ketika Tun Taib sebagai Ketua Menteri apabila saya sedar cara pemikirannya masih seperti dahulu.

Berpeluang menemui beliau bersama-sama rombongan New Sarawak Tribune dan TVS di kediamannya di Demak Jaya baru-baru ini, kami disambut baik oleh kakitangannya.

Ketika ditemu bual, Tun Taib sering kali menekankan bahawa bahasa merupakan wadah perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak.

Katanya, meskipun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, namun orang Cina di Sarawak agak mahir bertutur dalam bahasa Iban.

“Bahasa Iban pula banyak pecahannya, tetapi perbezaan itu diketepikan dalam usaha mencari titik persamaan yang mencambahkan perpaduan rakyat Sarawak.

“Kaum Iban, Bidayuh dan lain-lain juga amat mahir berbahasa Melayu Sarawak yang memudahkan komunikasi antara mereka,” katanya ketika memulakan temu bual eksklusif tersebut.

Bercerita lanjut, bekas Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata, proses perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah satu proses berterusan dan semula jadi.

Mencintai irama lagu Allahyarham P. Ramlee, Tun Taib memberitahu, budaya Melayu berkembang mekar melalui filem-filem.

“Sebelum ini, budaya Melayu dipamerkan melalui golongan bangsawan tetapi impaknya tidak kuat.

“Dengan wujudnya filem-filem P. Ramlee, budaya Melayu dapat diluaskan tanpa disedari di Malaysia,” jelasnya.

Menjadi Adun Balingian sebagai kerusi terakhirnya sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri, Tun Taib mengakui beberapa peribahasa berubah seiring dengan zaman.

“Sarawak amat membangun sebagai anggota Persekutuan Malaysia apabila mengamalkan perkahwinan campur yang menjadi pengaruh kukuh kepada perpaduan.

“Kita mempunyai cara tersendiri untuk berhubung walaupun berbeza dari segi budaya dan adat resam,” jelasnya.

Tegasnya, ketika Malaysia baru dibentuk, impian untuk menyatupadukan rakyat agak sukar dicapai tetapi kini masyarakat negeri ini mempunyai momentum ke arah itu tanpa kita sedari.

“Ekoran perpaduan yang ada dalam kalangan rakyat Sarawak, pembangunan agak mudah dilaksanakan dan tidak membeku di sesebuah kawasan sahaja.

“Justeru, kita dapat menyaksikan berlakunya unsur-unsur Melayu di kawasan Dayak dan begitu juga sebaliknya.

“Malah, budaya Iban kini mempunyai semakin banyak mempengaruhi kaum lain akibat perkahwinan campur,” ujarnya.

Bekas Adun Asajaya yang minat membaca komik ini juga berpendapat, perkahwinan campur adalah bonus untuk mengenali lebih ramai orang.

“Semakin lama, rakyat Sarawak mempunyai sikap yang terbuka untuk menyelami budaya orang lain.

“Saya dahulu bergaul dengan ramai orang, termasuk penduduk dari Brunei ketika masih kecil di Miri.

Pada masa itu tidak ramai kaum Dayak di Miri. “Kaum Dayak mula berhijrah ke Miri sekitar tahun 1960-an apabila peluang pekerjaan semakin banyak ditawarkan,” katanya.

Tambahnya, anak-anak mereka semakin terbuka apabila bergaul dengan orang ramai. Bagi mengekalkan tahap kesihatannya, Tun Taib akan berjalan dan bersenam di pekarangan rumahnya serta mengambil pemakanan seimbang dengan melebihkan ikan dan sayur-sayuran berbanding daging.

Meminati ajaran Wali Songo di Tanah Jawa, beliau mengambil iktibar daripada sejarah berkenaan.

“Wali Songo membawa teladan kepada orang Islam untuk tidak memaksa orang lain belajar mengenai agama kita kerana ia adalah proses menyendiri.

“Ia bergantung kepada orang itu sendiri sama ada ingin belajar mengenainya atau sebaliknya,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai impiannya yang belum dicapai, Tun Taib memberitahu, kejayaan dalam mencapai impian adalah proses berterusan.

Bagi mengakhiri temu bual eksklusif ini, beliau tidak kedekut untuk menyanyikan lagu lama P. Ramlee yang diselitkan alunan Tamil iaitu “Tidurlah Permaisuri”.