BINTULU: Ahli parti komponen GPS perlu memperkukuhkan sokongan kepada gabungan parti tempatan itu untuk terus menerajui kepimpinan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bagi memastikan matlamat tersebut tercapai, Pengerusi Persatuan Tuai Rumah Suai Bakom Ligong (gambar) mengajak pemimpin akar umbi dan penduduk memberikan sokongan padu kepada mana-mana calon parti komponen GPS yang akan bertanding pada PRN kelak.

Tegas beliau, sokongan itu penting bagi memastikan GPS terus relevan dalam membawa pembangunan ke seluruh kawasan di negeri ini terutama di pedalaman dan luar bandar yang masih memerlukan pembangunan.

Pada masa yang sama, beliau menasihati ahli GPS agar tidak melihat parti yang diwakili, sebaliknya saling bekerjasama dan bersatu berlandaskan semangat GPS.

“Jangan lihat baju atau logo parti, sebaliknya kerjasama kukuh antara parti komponen GPS untuk menentukan kejayaan dalam PRN akan datang,” katanya.

Selain itu jelasnya, parti komponen GPS juga perlu sentiasa berusaha keras untuk kepentingan rakyat.

“Rakyat pula perlu terus memberikan mandat kepada GPS kerana ia telah membuktikan kecemerlangan memerintah Sarawak di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” tambahnya.

Dalam isu berkaitan Bakom menasihati pemimpin akar umbi khususnya ketua kaum agar tidak menghiraukan segelintir pihak yang ‘bercakap belakang’, mengenai keakraban pemimpin akar umbi terutama ketua kaum dengan wakil rakyat.

“Mengapa kita tidak boleh dekati wakil rakyat sedangkan kita (rakyat) masih memerlukan pembangunan,” ujarnya.

Justeru beliau menegaskan hubungan akrab pemimpin akar umbi dengan wakil rakyat di kawasan masing-masing penting dalam memastikan pembangunan terus dapat dilaksanakan di kawasan mereka.