LIMBANG: Perancangan pembinaan jalan raya alternatif menghubungkan kawasan Limbang dan Miri tanpa melalui Brunei sudah lama dilakukan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah menjelaskan, permohonan serta perancangan pembinaan jalan tersebut sudah dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia Kelapan iaitu sekitar 2001.

Menurutnya, kekangan kewangan negara serta beberapa kekangan lain menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan.

“Kita sudah melakukan perancangan ini sejak dahulu lagi iaitu sejak Rancangan Malaysia Kelapan… bukan baru semalam,” katanya kepada media semasa majlis penyerahan sumbangan pendingin hawa dan peralatan bilik pakar di Hospital Limbang.

Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, laluan jalan raya itu melibatkan kawasan Tapak Warisan Dunia yang sedang giat dikaji oleh pengkaji tempatan mahupun luar.

Menurutnya, terdapat gua batu kapur dan tinggalan sejarah lama yang perlu dijaga dengan baik dan Kerajaan Sarawak membuat keputusan untuk melencongkan jalan itu agar tidak melalui kawasan gua.

“Ini untuk pelancongan, kita tidak mahu merosakkan khazanah berharga di sana.

“Pembinaan perlu dilaksanakan dengan berhati-hati kerana kita tidak mahu status Tapak Warisan Dunia itu ditarik semula,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Hasbi menyerahkan enam unit penyaman udara dan sumbangan membeli kelengkapan klinik pakar berjumlah RM50,000 untuk Hospital Limbang.

Tambahnya, beliau akan terus memperjuangkan kemudahan-kemudahan lain untuk hospital di Limbang dari masa ke semasa.