KUCHING: “Kerana Tun Taib kita memiliki Sarawak seperti yang kita miliki sekarang. Selain itu, kerana beliau juga kita mempunyai rizab negeri berjumlah RM30 bilion,” kata Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Lo Khere Chiang.

Adun Batu Kitang itu turut mengucapkan Selamat Ulang Tahun ke-84 kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Beliau turut berdoa agar Tun Taib diberikan kecemerlangan, kesihatan dan kegembiraan selama-lamanya.

Khere Chiang berkata demikian ketika ditanya pemberita semasa sidang media Projek Pembinaan Dewan Kampung Haji Baki di sini, pada Jumaat.

Jelasnya lagi, Tun Taib turut menghalang parti dari Semenanjung masuk ke Sarawak semasa menjadi Ketua Menteri suatu ketika dahulu.

“Oleh itu, parti Umno, Pas dan parti dari Semenanjung tidak dapat masuk ke Sarawak seperti yang kita saksikan hari ini,” katanya.

Banyak program diatur pada Sambutan Ulang Tahun TYT pada kali ini meskipun disambut mengikut kelaziman baharu termasuk pelancaran stesen televisyen pertama negeri Sarawak iaitu TVS.