KUCHING: Andai dipisah lagu dan irama. Lemah tiada berjiwa.. hampa”- Begitulah jua TVS tanpa sokongan rakyat Sarawak khususnya.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun kelahiran Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, TVSarawak telah melalui penjenamaan baharu kepada TVS dengan konsep baharu, segar dan menginspirasikan yang menyasarkan untuk menyentuh hati penonton bermula 10 Oktober 2020.

Dengan bertemakan “menonton televisyen di rumah,” simbolik majlis pelancaran dirasmikan oleh Tun Abdul Taib di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang memperkenalkan TVS dengan identiti baharu dalam menginspirasikan dunia dan memasuki detik bersejarah untuk Sarawak.

Majlis ini kemudiannya diteruskan dengan memperkenalkan 43 wajah-wajah baharu TVS yang terdiri daripada pembaca berita dan pengacara rancangan.

Majlis pelancaran diserikan lagi dengan persembahan anak jati Sarawak iaitu Bob Yusof yang akan mempersembahkan lagu P. Ramlee diikuti Dewi Liana Seriestha, Melissa Francis dan Nur Nazawani.

Boleh diakses di seluruh Malaysia, TVS kini boleh ditonton melalui klik alat kawalan jauh anda di saluran 122 Astro dan Astro Njoi, serta terdapat secara mudah alih melalui aplikasi Astro Go.