KUCHING: Stigma dan pandangan negatif masyarakat terhadap mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental perlu disingkirkan, kata Datuk Seri Fadillah Yusof .

Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, mereka yang mempunyai masalah tersebut juga tidak perlu takut dan segan untuk mendapatkan rawatan.

“Jika ada mereka yang mengalami masalah tersebut, saya mendoakan agar mereka diberikan sistem sokongan yang kuat.

“Ingat, kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal anda,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020, semalam.

Dalam hal berkaitan, menerusi kenyataan itu juga beliau menyenaraikan pautan sekiranya individu memerlukan bantuan berkaitan kesihatan mental iaitu https:// www.befrienders.org.my ; https://miasa.org. my/index.html dan talian kasih di 15999.