KUCHING: Penganugerahan Darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran Datuk kepada Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus merupakan pengiktirafan tertinggi kepada pemimpin di kawasan Subis.

Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni berkata, ia juga satu penghargaan kepada kepemimpinan wanita di Sarawak.

“Masyarakat Parlimen Sibuti merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Rosey Yunus atas penganugerahan PGBK yang membawa gelaran Datuk,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya, semalam.

Rosey yang lahir pada 16 Januari 1956 merupakan ahli parti PBB dan pertama kali dipilih sebagai Adun Bekenu pada PRN 2006.

Pada 2011, beliau berjaya mempertahankan kerusinya. Dalam PRN berikutnya beliau berjaya memperoleh pertambahan majoriti dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak yang baru ditubuhkan.

Dalam perkembangan berlainan, Lukanisman turut mengucapkan tahniah kepada TVS, stesen televisyen pertama milik Sarawak yang kini bersiaran secara rasmi di saluran 122 Astro.

“Diharapkan TVS membuka banyak ruang kepada penerbit tempatan serta menyiarkan siaran yang berkualiti dan memaparkan sisi istimewa Kerajaan Sarawak yang kurang diketahui umum,” tambahnya.