KUCHING: Pemain industri kreatif harus merebut peluang untuk menghasilkan program yang bukan sahaja hebat dan kreatif di stesen TVS, tetapi sarat dengan mesej kemasyarakatan.

Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi Unimas Jamilah Maliki berkata, TVS yang bersiaran menerusi saluran 122 Astro bermula semalam merupakan wadah untuk pembikin industri kreatif berkarya.

“TVS menyasarkan program yang berupaya menyerlahkan keunikan dan kepelbagaian Sarawak.

Sehubungan itu, pemain industri wajar merebut peluang untuk menghasilkan program hebat.

“Bagi saya penubuhan TVS adalah langkah optimis kerajaan dan ia merupakan usaha serampang dua mata.

“Salah satunya adalah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat tempatan secara lebih bersasar,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau teruja untuk melihat tiga jenis program di TVS iaitu dokumentari, program bual bicara dan drama rantaian yang sarat nilai moral.

“Saya fikir banyak program yang akan disiarkan, tetapi saya pilih tiga program yang saya teruja akan siarannya.

“Jika dokumentari dihasilkan, saya teruja untuk menyaksikan keunikan dan kepelbagaian di Sarawak dapat diketengahkan, baik di pedalaman mahupun di kawasan pesisir.

“Baik di kawasan yang diselimuti hutan hujan mahupun kawasan perlindungan hidupan liar. Tidak lupa juga keindahan flora dan hidupan laut yang berjuta.

“Lagi pula, kepelbagaian di Sarawak turut dapat dilihat menerusi makanan, bahasa malah tidak terkecuali gaya hidup dan interaksi dalam komuniti.

“Semua ini seronok untuk dikupas, diadun dan dibangunkan menjadi naratif yang menarik untuk didokumentarikan.

Ini peluang untuk meneroka seluruh pelosok Sarawak dan mengenali keunikannya,” ujarnya.

Beliau menambah, bagi program bual bicara yang merupakan nadi sesebuah stesen TV, beliau teruja untuk melihat kelainan program bual bicara yang memfokuskan kepada isu yang relevan dengan masyarakat hari ini.

“Sebagai contoh, bual bicara tentang inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat, bantuan yang disediakan, tetapi persoalannya, adakah bantuan ini sampai kepada golongan sasar?

“Jika benar rakyat tahu, adakah semua golongan yang layak mengetahui bagaimana cara permohonannya?

“Di Sarawak, ada yang belum benar-benar literasi tentang cara permohonan sesuatu bantuan yang disediakan kerajaan.

Melalui program sebegini, cuba kupas dan ulas. “Cuba uar-uarkan lagi… Ada banyak lagi program bual bicara yang seronok untuk ditonton.

“Teruja juga kalau dapat menonton kisah semangat kental anak muda di Sarawak dan menjadi inspirasi kepada yang lain, kisah aktiviti sukarelawan dan berbentuk kemanusiaan juga menarik.

“Yang penting, kita mahukan program yang bercirikan satu rasa yang sama, yang dapat membantu agar budaya serta amalan yang ada dalam masyarakat dapat dikenali, diterima dan dihormati,” jelasnya.

Mengulas lanjut, jika TVS berhasrat menyiarkan drama rantaian, beliau mengharapkan drama tersebut merupakan cerminan masyarakat yang penuh moral.

“Kita perlu galak pemain industri kreatif untuk meneroka, memahami serta mendalami kehidupan masyarakat dan kemudian menggarapnya menjadi sebuah naskhah kreatif yang sarat mesej positif.

“Banyak kisah dalam masyarakat di Sarawak yang boleh kita angkat menjadi naskhah kreatif yang hebat.

“Dialek masyarakat Sarawak tidak kurang indahnya untuk kita angkat sebagai suatu yang berseni kerana kita mahu mendidik di samping berhibur,” tambahnya.

Untuk menjadikan TVS lebih cemerlang, beliau berharap pihak stesen tv itu boleh menawarkan bantuan atau dana kepada pembikin instustri kreatif tempatan yang berkelayakan.

“Inisiatif ini sebagai dorongan dan motivasi dalam penerbitan program yang memenuhi sasaran sesuai dengan hasrat kerajaan untuk menerbitkan program yang bukan sahaja berkualiti.

“Tetapi lebih daripada itu ia dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk mengetengahkan bakat anak Sarawak dengan penuh iltizam serta menepati cita rasa penonton,” katanya.

Beliau turut berharap TVS memberikan kakitangan latihan secara berterusan untuk meningkatkan kecemerlangan dan kekal relevan dalam bidang penyiaran serta mendapatkan respons berkala daripada penonton untuk memastikan program yang ditawarkan selari dengan minat serta kecenderungan penggemar rancangan TV.