KUCHING: Sarawak tetap memberikan tumpuannya untuk mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 menerusi strategi Ekonomi Pasca COVID-19 dan Agenda Pembangunan 2030 yang dirangka kerajaan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, Sarawak perlu meraih pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lapan  peratus setahun dan ia tidak boleh berada dalam lingkungan lima peratus seperti sekarang.

“Walaupun kadar ini agak tinggi, kita perlu melakukan strategi lompatan dan memberi tumpuan kepada sektor utama dengan mengandakan KDNK daripada RM133 bilion setahun kepada RM282 bilion menjelang tahun 2030,” katanya ketika berucap di Majlis Jamuan Negeri sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-84 Yang

Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri di sini malam ini.

Untuk itu, katanya, pada 6 Mei lepas kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (SEAC), khususnya dalam memacu dan merangka strategi pemulihan ekonomi pasca COVID-19 sehingga 2030.

Katanya, strategi yang dirangka adalah berteraskan tiga tonggak utama iaitu kemakmuran ekonomi,  masyarakat  inklusif dan kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata SEAC juga mengkaji dan menilai cadangan dari semua pihak agar setiap perancangan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di Sarawak, selain dapat memperincikan lagi perancangan lebih sesuai untuk Rancangan Malaysia Ke-12 nanti.

“Saya berharap dengan kerjasama semua pihak, strategi ini akan dapat membuahkan hasil dan memberikan daya tahan ke atas ekonomi negeri, terutama dalam situasi yang sangat mencabar ini,” katanya, selain menambah kerajaan telah menggariskan lapan sektor ekonomi utama dan mengenal pasti inisiatif pemangkin dalam strategi pemulihan ekonomi pasca COVID-19 sehingga tahun 2030.

Katanya, sektor-sektor ekonomi ini nanti akan didorong dan diupayakan melalui tranformasi digital, inovasi dan keusahawanan, pendidikan, infrastruktur, pengangkutan dan utiliti.

“Semua usaha ini adalah bermatlamatkan negeri maju dengan purata pendapatan isi rumah melonjak daripada RM5,000 kepada RM16,000 menjelang tahun 2030,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Sarawak sekarang mengambil pendekatan inklusif dan prihatin dalam setiap pembangunan yang dirancang dengan berazam untuk mengurangkan peratusan golongan isi rumah berpendapatan rendah daripada 53 peratus sekarang kepada 30 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.– BERNAMA