KUCHING: Finas Cawangan Sarawak akan terus komited membantu penggiat seni dalam membangunkan industri kreatif di negeri ini.

Ahli Lembaga Pengarah Finas Datuk Norhyati Ismail berkata, ia sejajar dengan tanggungjawab perbadanan tersebut dalam mengemudi jawatankuasa ini khususnya di Sarawak.

“Seperti sedia maklum, pembangunan modal insan dan komuniti progresif merupakan satu pelan strategik Finas dalam memperkasa kandungan ekosistem industri kreatif negara.

“Dengan penganjuran bengkel kali ini, kita akan memastikan penggiat seni di Sarawak mendapat manfaat serta meningkatkan profesionalisme mereka dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Bengkel Lakon Skrin 2020, Bengkel Asas Penceritaan 2020 dan Bengkel Pengurusan Produksi 2020 anjuran Finas di Auditorium Finas Cawangan Sarawak.

Menurutnya, penggiat seni juga perlu meletakkan aspirasi Menteri Komunikasi dan Multimedia untuk melihat pembangunan filem tempatan setaraf Anugerah Akademi (Oscar) sebagai keutamaan mereka.

Meskipun ia merupakan satu perjalanan yang panjang untuk Malaysia mencapai KPI tersebut, namun dengan program yang dianjurkan oleh Finas ia mampu membantu penggiat seni ke arah itu.

“Penggiat industri kreatif juga perlu melihat sektor ini sebagai satu platform perniagaan yang membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai.

“Hal ini kerana hasil pendapatan yang diperoleh daripada industri ini turut dapat menyumbang kepada ekonomi negeri,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa Finas akan berusaha untuk melaksanakan lebih banyak kursus pada masa akan datang agar penggiat seni di Sarawak tidak ketinggalan.

Justeru, beliau turut mengharapkan agar Kerajaan Sarawak dapat melihat industri kreatif di negeri sejajar dengan usaha yang diperjuangkan.