SIBU: Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing menggesa seluruh rakyat di negeri ini terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berikutan peningkatan kes Covid-19.

Beliau berkata, wabak pandemik ini yang memasuki gelombang ketiga sangat memerlukan pematuhan semua rakyat akan gesaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sebelum ini.

“Saya menggesa seluruh rakyat Sarawak di mana-mana sahaja untuk terus ingat untuk kekal selamat dan mengambil langkah berjaga-jaga sepenuhnya.

“Jangan mengambil ringan SOP yang telah ditetapkan oleh JPBNS kerana kerajaan memerlukan kerjasama semua untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China turut melahirkan kebimbangannya terhadap peningkatan kes Covid-19 di Sarawak amnya.

“Kita semua tahu beberapa tempat mengalami lonjakan jumlah kes Covid-19 dan kita tidak mahu melihat Bintulu, Sibu khususnya Sarawak menjadi salah satu tempat seperti Klang dan sebahagian Sabah.

“Duduk di rumah melainkan jika situasi benar-benar memerlukan baharulah kita keluar.

Bila keluar amalkan penjarakan fizikal dan pastikan sentiasa memakai pelitup muka dengan betul,” tegasnya.

Ahli Parlimen Bintulu itu mengingatkan rakyat agar sentiasa mematuhi SOP dengan ketat serta tidak mengabaikannya.

Sementara itu beliau berpendapat, peningkatan kes Covid-19 yang melanda negara mahupun Sarawak bukan salah sesiapa mahupun pihak berkenaan malah wabak ini mudah berjangkit sekiranya SOP tidak diamalkan dengan ketat.

Katanya, ada segelintir pihak tertentu yang suka menyalahkan pihak lain berkaitan peningkatan kes di negara ini amnya di Sarawak.

“Jangan menuding jari kepada sesiapa terhadap peningkatan kes Covid-19 ini dan jangan membuat alasan untuk tidak mematuhi SOP.

“Adalah lebih penting bagi semua kita tanpa mengira siapa memainkan peranan kita sekarang sekiranya kita ingin berjaya menurunkan jumlah jangkitan wabak ini,” tambah Tiong.