GEORGE TOWN: Tiga lagi yang disahkan positif COVID-19 daripada Kluster Penjara Reman semalam adalah banduan yang ditempatkan di dalam sel sama dengan individu yang meninggal dunia akibat jangkitan itu pada 5 Okt lepas, kata Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang Mohamed Jusoh Ismail.

Katanya terdapat 26 banduan di dalam sel berkenaan yang kemudian diasingkan dan dikuarantin sebaik sahaja kes COVID-19 itu disahkan.

“Setakat semalam, 18 orang (termasuk si mati) disahkan positif COVID-19 manakala lapan lagi yang tinggal di dalam sel sama tidak menunjukkan gejala penyakit itu. Mereka masih dikuarantin dan diasingkan daripada banduan lain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya beliau dimaklumkan kesemua 17 banduan itu yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang, berada dalam keadaan stabil.

Beliau juga berkata proses ujian saringan COVID-19 terhadap staf dan banduan di penjara itu yang dijalankan sejak 5 Okt lepas dijangka selesai hari ini.

“Saya sedikit lega kerana tiada petugas yang positif COVID-19 dan saya juga harap tiada penularan di sel-sel lain,” katanya.

Beliau juga berkata keadaan di dalam penjara ketika ini baik dan terkawal.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat tiga lagi kes COVID-19 baharu direkodkan membabitkan kluster Penjara Reman, menjadikan keseluruhan sebanyak 18 kes termasuk banduan yang meninggal dunia 5 Okt lepas.– BERNAMA