KUCHING: Stesen televisyen Sarawak, TVS pasti akan menjadi platform bagi pencipta kandungan, pengeluar dan pelakon tempatan untuk mempamerkan karya mereka, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata TVS adalah impian yang menjadi kenyataan bagi semua rakyat Sarawak yang akan menjadi mercu tanda usaha Sarawak untuk memanfaatkan potensi industri kreatif dan mengembangkan ekonomi yang berpusat pada industri kreatif.

“Ini adalah cabaran yang besar tetapi saya tidak mahu memandang rendah keupayaan rakyat Sarawak untuk menghadapi cabaran.

“Saya sangat terdorong kerana saya percaya Sarawak tidak kekurangan bakat dan bahan kandungan untuk dipamerkan kepada khalayak nasional dan bahkan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran TVS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, malam hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan Pengerusi Sarawak Media Group (SMG) Datuk Norhayati Mohd Ismail.

Menurut Abang Johari, ketika ini terdapat ramai bakat Sarawak yang telah menempa nama sama ada di pentas dalam negara mahu pun luar negara.

“Siapa yang tidak kenal dengan Dayang Nurfaizah, Bob, Miss Malaysia World Dewi Liana dan terbaru Miss Universe Malaysia Francisca Luhong, semuanya anak Sarawak.

“Saya percaya ramai Iagi bakat di luar sana yang belum digilap dan diberi peluang untuk menonjolkan diri,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar TVS dengan konsep ‘segar dan menginspirasi’ akan memberi jalan alternatif kepada bakat tempatan Sarawak untuk mencapai tahap nasional dan dunia.