BERMULA hanya sebagai petugas dek kapal, berkat dan usahanya lebih 30 tahun dalam bidang maritim, impian untuk menubuhkan kampus bidang perkapalan akhirnya menjadi realiti.

Mengimbau kembali pengalaman di atas kapal, Masni Amit, 74, berkata, bukan mudah untuk mencapai kejayaan tanpa berdepan pelbagai cabaran dan dugaan di laut.

Berdepan dengan laut bergelora, risiko diserang lanun, meninggalkan keluarga dan sebagainya menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan sebagai pekerja laut.

“Ramai beranggapan pekerja laut ini merupakan kasta rendah dan tidak semewah seperti pekerjaan lain, namun saya telah membuktikan bahawa pekerja kapal mampu mengubah taraf hidup,” katanya semasa ditemui semalam.

Pengarah Urusan Akademi Pelita Maslaut Sdn Bhd (PMSB) itu menjelaskan, pengalaman bekerja di laut dan melawat banyak negara Asia dan Eropah telah membuka matanya tentang industri perkapalan dunia.

“Saya bekerja bersama-sama ramai pekerja asing dari Indonesia, Filipina, China dan sebagainya.

Kita sedih kerana pekerja asing menguasai bidang perkapalan meskipun kapal milik syarikat tempatan,” ujarnya.

Melihat potensi bidang perkapalan, Masni Amit bertekad mengeluarkan modal sendiri untuk membuka Akademi PMSB pada 2001.

“Industri maritim ini majoritinya dikuasai tenaga kerja asing. Sebab itu saya memilih bersara awal dari syarikat minyak dan gas seterusnya membuka sekolah latihan teknikal untuk membekalkan tenaga kerja tempatan kepada pemain industri,” jelasnya.

Masni berkata, sejak akademi itu dibuka, ramai pelatih pelbagai bangsa dan kaum telah berjaya berkhidmat dengan syarikat minyak dan gas antarabangsa.

Malah, ada yang telah memegang watak penting di dalam kapal seperti kapten dan berpendapatan lebih RM10,000 sebulan.

“Jika masih ada yang beranggapan kerja sebagai anak kapal di laut masih kasta rendah, mereka salah kerana ramai lepasan akademi kita bekerja dan berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Bagi memantapkan lagi kualiti dan produk akademi, Masni Amit bersyukur usahanya menubuhkan kampus bernilai RM30 juta di kawasan Senadin menjadi kenyataan atas sokongan Kerajaan Sarawak.

“Kami berharap apabila kampus ini siap dalam tempoh 18 bulan ini, ia akan menjadi mercu tanda kebanggaan Miri dalam merancakkan lagi industri minyak dan gas.

“Kami sememangnya bertekad untuk membekalkan tenaga kerja terdiri daripada anak-anak tempatan bumiputera yang datang daripada keluarga susah untuk belajar dan mengubah kehidupan ke arah lebih baik,” tegasnya.

Pembinaan kampus itu menurut Masni secara tidak langsung dapat menjana pembangunan sosioekonomi.

Kampus itu dilengkapi fasiliti lain seperti simulator kapal dan enjin, bengkel, kolam renang, rumah asap, tempat latihan memadam kebakaran, tempat latihan survival dan sebagainya yang memenuhi latihan maritim.

Kampus seluas 15 ekar bakal dilengkapi 14 kelas yang dapat menampung 30 pelajar dalam satu kelas.

Kampus itu juga menawarkan pelbagai latihan standard, pensijilan dan watch keeping atau lebih dikenali sebagai STCW, kursus persediaan untuk dek, enjin dan sebagainya.

Ia turut dilengkapi kaferia, tempat tinggal pekerja dan surau untuk kegunaan pelatih dan pekerja Pelita Maslaut Sdn Bhd.

“Saya berharap dengan adanya akademi ini, ibu bapa bertambah yakin dan menggalakkan anak-anak menceburi bidang perkapalan,” ujarnya.

Pelita Maslaut merupakan akademi maritim yang diiktiraf oleh Jabatan Laut Malaysia di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia dan berjaya melatih ribuan pelaut di Borneo (Sabah, Sarawak dan Brunei) serta Semenanjung Malaysia.