MEMBERI pancing lebih baik daripada memberi ikan,” itulah ungkapan yang menjadi pegangan Ketua Pegawai Eksekutif Novert Sullang.

Falsafah ini mendorong Kuching Skills College menawarkan program kursus pemerkasaan dan keusahawanan wanita Sarawak (Sweet) selama 17 hari bermula 1 Oktober hingga 18 Oktober ini secara percuma.

Menurut Novert, program kursus ini memberi peluang kepada orang ramai terutama golongan B40 untuk memperoleh kemahiran kulinari dan keusahawanan.

“Seni kulinari mungkin tidak begitu digemari oleh orang ramai namun mempelajari ilmu itu mampu mengubah nasib hidup dengan pelbagai cara,” katanya.

Ujar Novert, Sweet juga bertujuan mahu menggalakkan golongan belia terlibat dalam bidang keusahawanan selain membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat.

“Golongan B40 juga mampu memperoleh pendapatan lumayan melalui kemahiran kulinari yang dipelajari,” katanya lagi.

SWEET juga diilhamkan oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menariknya, peserta kursus ini disertai oleh 50 wanita yang terdiri daripada golongan B40 yang didedahkan keselamatan dan kebersihan makanan.

Selain itu, peserta juga diajar kemahiran untuk menguruskan perniagaan makanan ketika menyertai program ini. Menurut salah seorang peserta, mereka amat bertuah kerana diberi peluang menyertai program ini.

“Bagi saya, program kursus ini mampu memberi pendedahan dan peluang dalam perniagaan kulinari,” kata peserta.

Diharap peserta program Sweet juga mampu mengubah nasib kehidupan mereka lebih baik dan mampu menjadi pengeluar makanan tersendiri.