KUALA LUMPUR: Sebanyak enam lagi kluster baharu COVID-19 dikesan di negara ini, melibatkan dua di ibu negara manakala Sabah, Selangor, Johor dan Putrajaya masing-masing satu kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kluster baharu di Kuala Lumpur ialah Kluster Baiduri dan Kluster Bah Perdana manakala Kluster Kolong di Sabah dan Kluster Bah Tropicana di Selangor.

Kluster Rinting dikesan di Johor manakala Kluster Bah Kasturi di Putrajaya, katanya pada sidang media secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Mengenai Kluster Baiduri, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan daerah Hulu Langat dan Cheras dengan kes indeks kluster itu (kes ke-14312) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan prapembedahan pada 7 Okt lepas dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah mengesan 17 lagi kes positif, (dan) sehingga 12 Okt, sejumlah 39 individu disaring dan sembilan individu masih menunggu keputusan,” katanya.

— BERNAMA