KUCHING: Penggiat industri kreatif perlu memainkan peranan membentuk jati diri masyarakat menerusi penceritaan filem yang dihasilkan.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol berkata, ia untuk memupuk nilai murni yang semakin luntur dalam kalangan masyarakat.

“Saya yakin setiap pelosok kawasan di negeri Sarawak ini mempunyai penceritaannya tersendiri. “Kita bertuah kerana telah menjalani kehidupan sejak kecil yang dikelilingi masyarakat pelbagai kaum dan budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Bengkel Lakon Skrin 2020, Bengkel Asas Penceritaan 2020 dan Bengkel Pengurusan Produksi 2020 anjuran Finas di Auditorium Finas Cawangan Sarawak baru-baru ini.

Menurutnya, selain bijak memilih bahan yang dapat menarik minat penonton, penggiat seni dan produksi juga perlu menitikberatkan sensitiviti sesuatu perkara dalam siaran yang ditayangkan.

Hal ini kerana, terdapat ramai masyarakat terutamanya generasi muda yang semakin berani serta mengabaikan nilai-nilai ini dalam kehidupan seharian mereka.

“Dengan keistimewaan yang kita ada, saya sangat yakin penggiat seni di Sarawak mampu menghasilkan kandungan yang bukan sahaja berkualiti malah dapat mendidik orang ramai ke arah kebaikan.

“Untuk itu, penting bagi penggiat seni di Sarawak agar tidak menumpukan kepada hiburan sahaja malah turut menerapkan unsur yang dapat mengembalikan keharmonian dan perpaduan dalam penceritaan skrip,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Abdullah Saidol juga menasihati peserta untuk menjadikan perkongsian yang diperoleh melalui bengkel itu sebagai panduan dalam menceburi bidang seni.

Beliau berharap agar bengkel yang diadakan dapateningkatkan prestasi anak seni di Sarawak dalam membangunkan industri kreatif di negeri ini.