KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) tampil sebagai jabatan yang memacu digitalisasi perkhidmatan awam Sarawak, kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Datuk Dr Sabariah Putit.

Katanya, ini khususnya dalam penggunaan teknologi seperti urusan tanah dan sebagainya.

“JTS diamanahkan dalam perkara yang berhubung kait dengan maklumat berkenaan utiliti yang akan digunakan oleh pelbagai kementerian dan agensi di Sarawak.

“Ini adalah tanggungjawab besar JTS, tetapi ia akan mentransformasikan Sarawak ke tahap yang lebih tinggi dan maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutupan Program Cabaran Kreativiti Dekorasi Kek Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) dan Sesi Perkongsian Profesion Juruukur: Inovasi dan Transformasi bersempena Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2020 anjuran Jabatan Tanah dan SurveSarawak (JTS) di Hotel Imperial di sini, semalam.

Menurut beliau, JTS berpotensi untuk menjadi agensi contoh dalam industri 4.0 kerana pelbagai inovasi telah dilaksanakan oleh jabatan tersebut.

“Pada masa akan datang, saya ingin melihat banyak lagi inovasi yang dibawa oleh JTS dalam memacu digitalisasi yang menjadi satu permintaan yang baharu pada hari ini.

“Dengan kerjasama dan usaha yang tinggi dalam kalangan warga JTS, ia dapat memacu sebagai sebuah agensi yang membawa pembaharuan dalam industri 4.0 agar berlaku dengan lebih pantas,” jelasnya.

Sementara itu, Sabariah menjelaskan dengan keadaan penularan Covid-19 yang mengganggu pelbagai rancangan tahun ini, ia menjadi satu cabaran besar dalam perkhidmatan awam Sarawak.

“Ketika kita ingin melaksanakan inisiatif kerajaan serta memecahkan minda pemimpin dalam perkhidmatan awam bukan kerja mudah.

Namun dengan kelaziman baharu ini, kita terpaksa menukar cara hidup dan secara tidak langsung kita terpaksa menghayati dan mengamalkan platform digital,” ujarnya.

Beliau turut berkata, penganjuran program Cabaran Kreativiti Dekorasi Kek SCSIC adalah penting dan memberi makna yang besar dalam usaha membudayakan kreativiti dan inovasi dalam kalangan penjawat awam.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah JTS Abdullah Julaihi, Pengarah Poliku Jamilah Ahmad, Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Sarawak Banges Munga dan wakil yang lain.