TIDAK keterlaluan jika dikatakan kerakusan ahli politik untuk berkuasa antara faktor mendorong kepada peningkatan kes positif Covid-19.

Andaian itu diperkuatkan lagi dengan peningkatan mendadak kes usai pilihan raya negeri (PRN) Sabah, pada 26 September lalu.

Malah, pengerusi parti Warisan yang juga mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafiee Apdal memohon maaf kepada seluruh rakyat ekoran situasi semasa jangkitan positif Covid-19 kini.

Sabah mencatat jumlah kes tertinggi iaitu 277 kes (74.1 peratus) dan setakat ini, lima kematian direkodkan setakat 10 Oktober lalu.

Sejak awal wabak sehingga kini, 198 orang kakitangan KKM di Sabah telah dijangkiti Covid19, termasuk dua jururawat yang bertugas di Hospital Queen Elizabeth 2. Pada Oktober setakat ini sahaja telah mencatat jumlah paling tinggi iaitu 85 orang, berbanding September iaitu 66 orang.

Susulan kes positif jururawat tersebut, 92 pegawai perubatan dan jururawat di HQE2 telah disaring, manakala 40 jururawat telah dikuarantinkan.

Pun begitu perkhidmatan di ICU HQE2 masih berjalan seperti biasa, namun terpaksa mengurangkan jumlah pesakit daripada lapan kepada enam pesakit.

Dalam pada itu, lebih banyak aktiviti saringan terus dijalankan di lapangan, terutama di pelbagai daerah yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran, dan kapasiti ujian terus dipertingkatkan.

Bagi membantu menangani situasi di Sabah, keupayaan sumber manusia dan katil di Sabah terus dipertingkatkan. Secara keseluruhannya, seramai 475 orang anggota pelbagai kategori dan skim perkhidmatan telah digerakkan secara dalaman negeri Sabah dan juga daripada negeri-negeri lain ke Sabah.

Mereka ditempatkan di Tawau, Lahad Datu, Semporna, dan Kota Kinabalu.

Malah, kapasiti katil juga ditingkatkan dengan pembukaan lebih banyak hospital untuk Covid-19 dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah di Sabah, menjadikan jumlah katil kini mencecah 4,822.

Selain Sabah, Kedah berada di kedudukan kedua merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 27 kes membabitkan Kluster Tembok.

Tiada kluster baharu dilaporkan dan kluster aktif yang lain pula tidak mencatatkan kes baharu. Negeri-negeri Lembah Klang pula merangkumi 13.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, iaitu Negeri Selangor mencatat 44 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur empat kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya satu kes.

Sebanyak 17 daripada 374 kes dilaporkan pada 10 Oktober lalu merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekali gus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 sebanyak 341 kes.

Enam daripada 17 kes tersebut dilaporkan di Selangor (35 peratus) manakala enam kluster baharu turut dikenal pasti pada tarikh tersebut iaitu empat kluster di negeri Selangor, 1 kluster di negeri Sarawak dan satu kluster di negeri Sabah.

Sikap leka dan alpa untuk mengamalkan kebiasaan baharu meskipun negara belum menang untuk mengekang penularan virus Covid-19 merupakan punca kes wabak itu meningkat.

Peperangan dengan Covid-19 hanya boleh dimenangi dengan kesepaduan semua pihak, tidak kira latar belakang, pangkat, darjat, kerjaya dan sebagainya, mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Untuk kita berjaya, tiada seorang terkecuali. Pastikan kita jaga kita, keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.
Petugas kesihatan dan perubatan juga perlu menyedari bahawa mereka juga berisiko dijangkiti dalam komuniti mahupun semasa bertugas.

Oleh itu, semasa bertugas, gunakan PPE yang bersesuaian dan patuh kepada panduan amalan klinikal.

Semasa di dalam komuniti, patuhlah kepada SOP seperti masyarakat umum juga.

Ruang kerja yang sempit dan ruang pantri di tempat kerja juga perlu dipastikan sentiasa bersih bagi mengelakkan penularan di tempat kerja.