SRI AMAN: Saling menghormati merupakan kunci keharmonian kaum yang perlu dipelihara, kata Ketua Armada Sarawak merangkap Ketua Armada Bahagian Sri Aman, Alexander Frusis.

“Ingin saya tegaskan di sini, apabila perkara yang melibatkan agama mahupun kepercayaan sesebuah kaum, perkara asas yang harus kita patuhi ialah jauhi politik bersifat peribadi dan mementingkan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Kuih Bulan dan Sambutan Ulang Tahun Dewa Ji Gong Huo Fo bersempena Pesta Tanglung anjuran Persatuan Penganut Agama Buda dengan kerjasama JKKK Tuai Rumah, Patricia Tawi di Entulang Sri Aman, semalam.

Menurut Alexander, Sarawak merupakan simbol keharmonian yang harus dicontohi oleh semua rakyat Malaysia.

“Sarawak mempunyai 60 lebih kaum, namun keharmonian dan saling menghormati adalah kunci kejayaan sesebuah keharmonian kaum yang harus dipelihara oleh anak-anak muda masa kini,” katanya.

Tambahnya, rakyat Sarawak amat bertuah kerana mempunyai kerajaan yang begitu prihatin terhadap rakyatnya yang menganuti agama berlainan di negeri ini.

“Ini dapat dibuktikan melalui usaha Kerajaan Negeri yang telah mewujudkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) yang diletakkan di bawah naungan Pejabat Ketua Menteri dan Menteri yang bertanggungjawab ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas,” ujarnya.

Jelasnya, peranan utama Unifor adalah untuk memastikan rakyat Sarawak yang menganuti agama-agama lain sama-sama menikmati pelbagai insentif daripada kerajaan.

Dalam majlis sama, Alexander turut mengumum kan sumbangan peribadi kepada persatuan untuk aktiviti tahunan mereka.

Turut menghadiri majlis tersebut ialah Ketua Polis Daerah Sri Aman, YDH DSP Tuan Bingkok John, Pegawai-Pegawai Kanan IPD Sri Aman, Ketua-Ketua kaum dan wakil-wakil NGO.