PADAWAN: Polis menahan enam warga Indonesia di sebuah pusat perjudian dalam talian di sebuah bangunan berhampiran Batu Kawa New Town Ship, semalam.

Serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Khas polis Padawan pada jam 5.30 petang menyaksikan empat lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 29 tahun berada di dalam premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, ketika serbuan polis merampas tiga komputer riba, tiga monitor, sembilan telefon bimbit, dua modem internet, tiga papan kekunci dan tiga tetikus dipercayai barangan kes untuk melakukan sindiket judi dalam talian.

“Siasatan mendapati sindiket ini menjadikan rumah sewa sebagai pusat perjudian dalam talian.

“Premis tersebut dipercayai mula beroperasi sebagai pusat perjudian hampir setahun enam bulan dan dianggarkan mampu mengaut keuntungan harian mencecah RM10,000,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, modus operandi sindiket ini adalah menjadikan menyewa premis untuk dijadikan pusat judi dalam talian 24 jam dan mencari pelanggan melalui telefon untuk terlibat dalam permainan judi dalam talian seperti 918kiss, Kiss Kaya, Mega888, Pussy 888, XEE.

Tambahnya, setiap operator dibekalkan satu unit telefon pintar untuk membuat panggilan ataupun menghantar mesej kepada pelanggan yang terlibat perjudian.

Susulan itu katanya, kesemua suspek dan rampasan dibawa ke IPD Padawan untuk tindakan siasatan lanjut.

Katanya, mereka kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

OPERATOR… Operator sindiket terdiri daripada warga asing bekerja untuk mencari pelanggan judi dalam talian menerusi panggilan telefon