KUCHING: Kumpulan Media Sarawak (SMG) mempunyai visi untuk menerajui industri media tempatan, untuk berdiri sama tinggi di peringkat kebangsaan dan bercita-cita untuk dikenali di peringkat antarabangsa.

Pengerusi SMG, Datuk Norhayati Mohd Ismail berkata, TVS mahu menjadi salah satu hab media merentasi wilayah untuk mempromosi dan mengembangkan bakat kreatif baharu yang segar dari Sarawak.

“Kita berada dalam bayangan terlalu lama dan ini adalah masa kita berada dalam cahaya.

“Kita mahu menjadi platform untuk artis kreatif daripada amatur kepada profesional dan menceritakan kisah mereka bukan sahaja kepada negara, tetapi juga secara global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran TVS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Tan Sri James Jemut Masing serta kenamaan yang lain.

Kata Norhayati, ini bakal menjadi satu pengembaraan yang menjadi pemangkin kepada perkembangan industri baharu sejajar dengan ke arah Revolusi Industri 4.0, kreativiti menjadi tumpuan utama.

Tambahnya, TVS yang kini dalam percubaan di saluran Astro 122, TVS menggalakkan bakat kreatif tempatan untuk terlibat dalam mempersembahkan apa yang boleh ditawarkan dan dilakukan oleh Sarawak.

“Bakat mentah ini akan digilap menjadi satu bakat yang dicari yang akan mengangkat Sarawak ke peringkat baharu.

“Muda-mudi yang ingin mencebur diri dalam industri kreatif boleh yakin bahawa bakat dan semangat mereka tidak akan disia-siakan dengan kehadiran kami,” ujarnya.

Norhayati turut memberitahu, TVS akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Finas di bawah geran pelaksanaan untuk membangkit semula industri filem Malaysia.

Katanya, proses untuk menghasikan kandungan tempatan mengambil masa, justeru ingin menjemput penerbit kandungan tempatan untuk bekerjasama dengan TVS dalam membawa haluan baharu kepada penerbitan filem tempatan dan rancangan berkonsep realiti yang segar.

“Dengan menghasilkan konsep yang berkaitan dan tempatan, kita boleh menunjukkan kepelbagaian Sarawak yang berkaitan penceritaan unik dan kepelbagaian budaya,” jelas Norhayati.