KUCHING: Dua warga Indonesia termasuk 97 individu dikompaun RM1,000 akibat tidak mematuhi prosuder operasi standard(SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP).

Kesemua individu terdiri daripada 70 lelaki dan 23 wanita ditangkap hasil pemeriksaan polis di sekitar bandar raya Kuching dalam tempoh 5 Oktober hingga 11 Oktober 2020.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, berdasarkan kajian kebanyakan orang awam masih gagal mematuhi SOP penjarakan fizikal dan bersikap tidak peduli dengan norma baharu.

Katanya, sebanyak 91 kompaun dikeluarkan kepada individu tempatan di tempat berasingan manakala satu kertas siasatan di bawah Peraturan 3 PPPPB (Langkah-langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Seksyen 269 Kanun Keseksaan ke atas dua warga Indonesia.

Dedahnya, kompaun terbanyak dikeluarkan hasil pemeriksaan pada dua buah pusat hiburan di kawasan Kuching.

“Pemeriksaan pertama di pusat hiburan Jalan Petanak, seramai 27 individu telah dikompaun manakala 35 lagi dikompaun di pusat hiburan Jalan Stutong.

“Mereka telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 PPPPB(No 8) 2020 kerana tidak mematuhi SOP semasa berada di premis,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tegas beliau, kompaun tersebut perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah(PKD) dalam tempoh 14 hari dengan jumlah RM1,000.

Tambahnya, pemantauan akan dijalankan secara berterusan bagi membendung penularan Covid-19 daripada berlaku.

“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengenakan kompaun kepada individu degil tidak patuh SOP PKPP.

“Masyarakat diingatkan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal di tempat awam manakala premis perlu menyediakan alat penyukat suhu badan, buku catatan serta cecair sanitasi,” tegasnya lagi.