KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekali lagi menyeru agar lebih ramai sukarelawan perubatan dan kesihatan membantu mereka dalam menangani gelombang ketiga Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sukarelawan berkenaan diperlukan untuk menambah mobilisasi pasukan bantuan ke Sabah.

“Penilaian keperluan sumber manusia akan terus dilakukan secara berterusan bagi membantu mengawal situasi penularan jangkitan Covid-19 di Sabah, di samping memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan di sana.

“Pada masa yang sama, kebajikan semua anggota kesihatan dan perubatan akan terus diutamakan bagi memastikan aset utama KKM ini dapat menjalankan tugasan dengan baik,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Fcaebook, semalam.

Tambahnya, seramai 475 orang anggota pelbagai kategori dan skim perkhidmatan telah digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, dan Kota Kinabalu setakat ini bagi membantu penularan Covid-19 di negeri tersebut.

“Mobilisasi pasukan bantuan secara dalam negeri di Sabah telah dilakukan sejak awal peningkatan bilangan kes Covid-19 di sana lagi.

“Sehingga 8 Oktober 2020, sejumlah 249 orang anggota daripada Bahagian Perubatan dan 48 orang anggota daripada Bahagian Kesihatan Awam telah digerakkan secara dalaman di Sabah.

“Di samping itu, sejumlah 130 orang anggota daripada Bahagian Perubatan dan 48 orang anggota daripada Bahagian Kesihatan Awam telah digerakkan dari negeri-negeri lain ke Sabah,” jelasnya.

Pada masa yang sama beliau juga merakamkan ucapan terima kasih semua anggota kesihatan dan perubatan serta semua sukarelawan yang telah bersama-sama membantu memerangi Covid-19 di Malaysia setakat ini.

Untuk rekod, penyelarasan mobilisasi Pasukan Bantuan Kesihatan dan Perubatan ke Negeri Sabah akan dijalankan oleh Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (emel: mobilisasi19@gmail.com , cprc@moh.gov.my).