SIBU: Impak pembukaan berjadual Jalan Ngemah-Temalat telah mempengaruhi sektor operasi dan perniagaan bot ekspres di sini dan Kapit amnya.

Menurut Pegawai Penguat kuasa Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Bahagian Kapit Jerry Lenggir, impak tersebut amat ketara setelah pembukaan jalan tersebut.

“Kebanyakan orang sudah tidak lagi memakai bot ekspres kerana Kapit sudah ada jalan selepas aktiviti berkonvoi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta rombongannya baru-baru ini.

SIBUK…Jalan Ngemah-Temalat sibuk.

“Kami di LSS telah menyaksikan perubahan ini yang amat ketara,” katanya semasa dihubungi, semalam. Beliau berkata, sejak seminggu lalu operasi di Terminal Penumpang di Kapit sudah berkurangan dan keadaannya sama seperti di Terminal Penumpang Sibu.

“Perubahan ini turut memberi impak besar kepada sektor tersebut. Namun kami di sini tetap bertugas seperti biasa,” jelasnya lagi.

Sementara itu, seorang pengusaha bot ekspres di sini yang enggan dikenali turut mengakui situasi dan keadaan mereka amat terkesan sejak minggu lalu.

“Masa pelepasan digabungkan akibat kekurangan penumpang. Dan tidak kurang juga pembatalan pelepasan bot akibat kurang penumpang.

“Jika keadaan ini berterusan, kami mungkin akan menghentikan operasi kami. Namun sekarang kami tetap meneruskannya. Tunggulah selepas pembincangan antara para pengusaha yang lain,” katanya lagi.

Beliau turut mendedahkan, penurunan penumpang turun dengan drastik, apabila mencatatkan penurunan sehingga 70 peratus hingga 80 peratus.

Begitu juga, dengan penurunan pengiriman/ penghantaran barangan melalui bot ekspres hingga 95 peratus.

DIBUKA…Notis berjadual bagi pembukaan Jalan Ngemah-Temalat untuk kemudahan orang ramai.

“Ini kerana orang ramai lebih suka menggunakan pengangkutan darat ketika menghantar barang-barang keperluan ke Kapit,” tambahnya dengan nada kecewa.

Sementara itu, Jalan Kanowit-Song-Kapit khususnya di bahagian Ngemah-Temalat sesak apabila ia terus digunakan oleh orang awam. Kelihatan ramai warga Sibu sama ada yang menggunakan kereta mahupun motosikal berkunjung ke Kapit lebih-lebih lagi ketika hujung minggu.

Jalan Ngemah-Temalat merupakan jalan penghubung terus ke Song dan Kapit. Projek jalan tersebut bernilai RM79 juta dan sepanjang 9.6 kilometer, laluan Kanowit-Song-Kapit yang bernilai RM700 juta sepanjang 86 km. Jika dari Sibu, jarak keseluruhan ke Kapit ialah 110 km.

Baru-baru ini Abang Johari berkonvoi bersama rombongan ke Kanowit, Nanga Ngungun, Song dan seterusnya ke Kapit dengan bermotosikal berkuasa tinggi.

Beliau turut mengarahkan agar Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Tan Sri James Masing dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) membuka Jalan Ngemah-Temalat secara berjadual untuk kegunaan orang ramai.