KUCHING: Rakyat Singapura kini dapat menikmati makanan premium dari Sarawak dengan membeli jenama khas seperti pes Laksa Sarawak MUSC, Madu Rajaborneo, Sarang Burung Qin Yan Lin serta minuman Kopimas, Lecos, KokoRich dan 2bi di Singapore Food Shows E-Shop.

Jenama tersebut dilancarkan pada 9 Oktober lalu di Singapore Food Shows bersama-sama promosi dan kempen pemasaran yang dibuat khas selama sebulan.

Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (Statos) di Singapura dan Bountiful Harvest Pte Ltd bekerjasama dengan penganjur pameran bagi Industri Makanan dan Minuman Singapura (F&B), Singapore Food Shows, membawa jenama Sarawak ke Singapura.

MADU RAJABORNEO

Ketua Pegawai Eksekutif Statos Chew Chang Guan berkata, Singapore Food Shows merupakan satu platform untuk melancarkan produk premium Sarawak kepada pengguna di Singapura.

“Antara objektif utama pelancaran ini adalah untuk menjana dan mengembangkan perdagangan eksport kita ke Singapura malah ke peringkat yang lebih tinggi. “Ia sejajar dengan visi  Kerajaan Sarawak untuk melipatgandakan eksport domestik seterusnya menjadi pengeksport makanan bersih menjelang 2030,” katanya.

Bountiful Harvest Pte Ltd dimiliki oleh Sarawak adalah pengimport produk pertanian dan F&B di Singapura dan pengusaha tersebut mengambil bahagian sebagai salah satu penjual utama di E-shop Singapore Food Shows akan datang.

Dalam satu kenyataan medianya semalam, Singapore Food Shows memainkan peranan sebagai penganjur pameran F&B terbesar di Singapura seperti Jerayawara Makanan Dunia sejak 2004.

“Namun, pada musim Covid-19 ini, Singapore Food Shows mula bergerak secara atas talian untuk memudahkan pengguna. Malah mereka juga dapat membeli produk tersebut dengan selamat dan mudah.

“Menjalinkan kerjasama dengan Statos, Singapore Food Shows E-shop diharapkan memberi banyak manfaat kepada jenama F&B secara menyeluruh, yang merangkumi beberapa jenama tempatan Sarawak,” jelasnya.

MADU RAJABORNEO

Chang Guan turut berkata, beliau berusaha untuk memastikan seluruh warga Singapura mengetahui berkenaan produk makanan dan minuman Sarawak, yang berkualiti dan mudah diperolehi.

“Usaha pemasaran digital ini merupakan sambungan daripada perjalanan transformasi digital Sarawak dengan memberi peluang kepada peniaga dan jenama tempatan untuk memasuki pasaran global.

Ini secara langsung membantu membuka perdagangan pelancongan kita. “Selaras itu, Statos mendorong semua bakal pengeksport dan pengeluar produk F&B tempatan untuk menghubungi kami,” tambah Chang Guan.