TANGGAL 10 Oktober 2020 merupakan hari bersejarah buat Sarawak.

Lahirnya televisyen pertama yang dikenali sebagai TVS.

Kemunculannya dilihat sebagai satu fenomena di segenap pelosok negeri terbesar di Malaysia itu, sesuai dengan temanya, “Segar Dan Memberi Inspirasi”.

Tampil dengan imej segar melalui pelbagai rancangan menarik seperti Borak Teh C Peng, Rezeki Air, Komuniti Kita, Borneo Fro, Above, Sudut Pandang Anak Muda, TVS turut memainkan peranan dalam arena sukan Sarawak.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menyifatkan, kewujudan TVS sebagai satu keberuntungan bagi rakyat Sarawak kerana mempunyai televisyen sendiri.

“Kita sudah ada ruang untuk mengisi apa yang berlaku di seluruh Sarawak, tanpa bergantung harap kepada televisyen orang lain,” kata Posa.

“Sebagai penggiat sukan, sudah pasti kami mengharapkan TVS akan memainkan peranan dalam mengetengahkan berita-berita sukan di negeri ini, terutama bola sepak,” ujarnya.

Malah menurut Posa, TVS akan menjadi platform untuk mentransformasikan arena sukan di Sarawak.

Ini bermakna, liputan sukan di Sarawak boleh diperluaskan, terutama sukan di peringkat akar umbi, di seluruh Bumi Kenyalang.

Misalnya, sukan di peringkat sekolah rendah mahupun menengah. Bintang-bintang dalam pembikinan boleh ditonjolkan sebagai cetusan semangat dan inspirasi untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

Malah, sukan-sukan lain juga wajar diketengahkan, terutama sukan baharu, e-sukan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan remaja dan belia di negeri ini.

Sukan elektronik itu hendaklah diperluas dan dipromosikan dari semasa ke semasa.

Jadi dengan adanya TVS, maka ruang untuk kita menggerakkan sukan ini di Sarawak terbentang luas.

Apatah lagi sekarang ini kita mempunyai Taman Tema Maya Pertama di Borneo, D-Virtual Park di Jalan Meranek, Kota Samarahan, yang menjadi pentas utama e-sukan.

Ia pastinya akan menyemarakkan lagi semangat anak-anak muda kita untuk meningkatkan mutu sukan ini di peringkat nasional dan antarabangsa. Yang pasti, TVS akan bertindak sebagai teropong dalam mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam dunia sukan Sarawak.

Seperti yang kita sedia maklum, sukan di Sarawak agak kurang ditonjolkan sebelum ini.

Jadi harapan kita, dengan adanya TVS, segala bentuk sukan yang menarik di tempat kita akan dipertontonkan, untuk rakyat tempatan dan orang luar.

Kita sebagai rakyat Sarawak harus menzahirkan kesyukuran kerana perubahan ini.

Empat bahasa yang digunakan dalam TVS iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Iban serta Mandrin melambangkan perpaduan erat masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Kepada seluruh rakyat Sarawak, ayuh sama-sama kita saksikan berita, rancangan hiburan, laporan khas, sukan dan banyak lagi yang disajikan di TVS dalam memacu serta merancakkan pertumbuhan industri kreatif.

Sebagai rakyat, kita hanya perlu menonton rancangan yang disajikan, sebagai tanda sokongan untuk televisyen kita.

Siaran TVS boleh ditonton di saluran 122 Astro untuk tontonan seluruh negara, serta boleh ditonton melalui Astro NJOI dan Astro GO mulai jam 6.00 pagi setiap hari.