DIKENALI sebagai TV Sarawak (TVS), ia menjanjikan rancangan-rancangan yang segar dan menginspirasikan dunia anda yang bertemakan ‘Segar dan Memberi Inspirasi’.

Wartawan SUARA SARAWAK, Siti Nurain Ratani dan Jonathan Jip telah menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif TVS Suhaimi Sulaiman untuk mendapatkan pandangan dan kupasan mengenai peranan, hala tuju, cabaran dan masa depan TVS.

SUARA SARAWAK: Bagaimana tuan boleh melihat kewujudan TVS ini sebagai sebuah stesen televisyen yang berjaya?

SUHAIMI SULAIMAN: Sebagai stesen televisyen, saya melihat terdapat banyak cara untuk merealisasikan impian kami menjadi sebuah stesen televisyen yang berjaya.

Antaranya pengisian program dan perkembangan industri kreatif yang perlu diambil kira.

Dalam konteks ini, penerbit telah bertungkuslumus menghasilkan program berunsurkan kemasyarakatan yang akan mengupas permasalahan masyarakat.

Selain itu, TVS juga akan memaparkan rancangan yang mempromosikan Sarawak kerana Sarawak memiliki kekayaaan khazanah alam dan budaya.

Ia mampu menjadi landasan terbaik untuk menarik pelancong yang ingin melihat sendiri keunikan dan keindahan Sarawak. Pada dasarnya juga, setiap stesen televisyen akan melihat sesebuah rancangan untuk mendapat penilaian (rating) yang tinggi.

Namun, terdapat juga program yang kemungkinan tidak akan mendapat penilaian yang tinggi tetapi mampu memberi faedah yang banyak seperti program inovasi, perniagaan dan lain-lain lagi.

Mengapa memilih Astro dalam melancarkan TVS?

Dalam melancarkan stesen televisyen yang pertama, kita perlu memulakan langkah di sesuatu tempat tidak kira di mana ia berada.

Pada masa sekarang, kita melihat banyak rakyat yang mengakses televisyen melalui Astro – di Sarawak ia melebihi 80 peratus.

Namun, bukan itu sahaja cara untuk TVS melancarkan stesen tersebut kerana dalam perancangan, kami juga akan melancarkan stesen tersebut melalui MYTV.

Sekarang kami berada pada tahap akhir untuk melancarkan TVS melalui MYTV.

Selain itu, masyarakat pada zaman sekarang mempunyai komitmen sendiri dan tidak semua duduk di rumah untuk menonton televisyen.

Oleh itu, kami juga telah memikirkan jalan lain yang membolehkan anda menonton siaran kegemaran tanpa had di telefon pintar melalui Youtube, Facebook dan Instagram.

Sarawak pernah cuba melancarkan stesen televisyen namun tidak kesampaian disebabkan kekurangan liputan dan lain-lain. Bagaimana tuan cuba mengatasi masalah tersebut?

Kami melihat rakyat Sarawak hari ini sudah mempunyai liputan yang baik dan ramai yang dapat mengakses televisyen. Di sini, integrasi nasional sangat penting kerana saya berpendapat bahawa kisah mengenai Sarawak sangat relevan kepada seluruh rakyat Malaysia mahupun luar dari Malaysia.

Oleh itu, melalui stesen TV ini, sesetengah rancangan boleh memberikan penonton satu kisah yang menarik kerana perkongsian tersebut disiarkan dalam bahasa Melayu Sarawak.

Pada masa yang sama, ia juga boleh difahami oleh masyarakat luar kerana mempunyai sarikata dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Selain itu, saya juga melihat terdapat banyak kisah yang cukup baik dihasilkan oleh rakyat Sarawak.

Saya tidak melihat rancangan tersebut untuk rakyat Sarawak sahaja kerana naluri saya kuat mengatakan bahawa seluruh dunia akan menghargai hasil karya tersebut.

Jika terdapat masyarakat luar yang mula meminati hasil karya tersebut, maka peluang akan tercetus dalam meluaskan stesen ini ke luar negara dan secara tidak langsung akan merancakkan ekonomi di Sarawak.

Boleh tuan ulas serba sedikit mengenai pengiklanan dalam siaran TVS?

Pengiklanan dalam siaran televisyen merupakan satu cabaran yang perlu kita hadapi sebagai sebuah produksi yang baharu memulakan stesen televisyen.

Hal ini kerana, pengiklan pada mulanya akan melihat secara terperinci sesebuah program tersebut sama ada ia bagus atau tidak.

Jika pengiklan melihat ramai penonton yang menonton stesen televisyen tersebut, sudah pasti pengiklan akan memasukkan iklan mereka dalam siaran televisyen ini.

Oleh itu, stesen TV perlu sentiasa mengutamakan program berkualiti yang bukan sahaja mampu menarik perhatian penonton untuk menaikkan penilaian tetapi juga pihak pengiklan bagi membeli ruang iklan di saluran-saluran mereka.

Dengan cara tersebut, pengiklan akan menunjukkan minat mereka untuk mempromosikan produk mereka di stesen televisyen tersebut.

Sehingga kini, kami mempunyai banyak permintaan untuk meletakkan iklan mereka namun bagi pihak kami, perkara utama yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu adalah untuk membina reputasi yang baik dalam tahun pertama ini untuk menjadi stesen televisyen yang berkualiti.

Adakah pelancaran stesen televisyen ini akan membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai?

Sehingga sekarang, kami masih lagi menunggu dan menerima sebarang idea kreatif daripada masyarakat di luar sana untuk turut serta dalam membangunkan industri kreatif di Sarawak.

Kami juga amat mengalualukan pengusaha drama, pengusaha rancangan temu bual atau pengusaha animasi untuk mencurahkan bakat mereka.

Selain itu, stesen televisyen ini akan merangsang pertumbuhan industri kreatif yang bakal membuka banyak peluang kepada pemain industri menghasilkan kandungan tempatan, sekali gus merancakkan industri kreatif tempatan.

Jika idea yang disampaikan tersebut amat baik dan kreatif, sudah tentu kami akan membantu penggiat industri media kreatif dan penerbit rancangan tempatan dari segi peruntukan dalam menjayakan atau mengetengahkan idea mereka.

Oleh itu, kami telah membuka peluang sepenuhnya kepada individu yang ingin menunjukkan serta mengembangkan bakat mereka supaya kreativiti tersebut dapat membawa Sarawak setara dengan pentas Hollywood.

Jika penonton memberikan reaksi kurang baik kepada program ini, bagaimana tuan akan mengendalikan perkara tersebut?

Sebagai stesen televisyen, kita perlu sentiasa mencuba untuk menghasilkan kualiti yang baik.

Jika kita tidak memberanikan diri untuk mengambil langkah tersebut, sudah pasti kita tidak dapat mengetahui reaksi masyarakat terhadap rancangan yang disiarkan.

Namun, kita perlu mengetengahkan tiga aspek utama dalam melancarkan stesen ini iaitu “Memberitahu, Mengajar dan Menghiburkan”.

Dengan adanya tiga aspek tersebut, ia telah menjadi penanda aras bagi kita dalam memberi maklumat, mendidik orang ramai dan menghiburkan penonton dengan berkesan.

Harapan tuan kepada pihak berkepentingan melalui stesen televisyen ini.

Pada dasarnya, kita mempunyai ramai pihak berkepentingan dalam usaha membawa stesen televisyen ini ke arah yang lebih maju.

Namun, setiap individu yang berbeza akan menjangkakan sesuatu yang berbeza.

Oleh itu, kita perlu sentiasa berfikir kenapa stesen televisyen ini wujud?

Stesen televisyen pertama di Sarawak ini wujud untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang pendidikan malah dapat menghiburkan mereka dengan rancangan yang akan disiarkan.

Selain itu, kita sebagai seorang rakyat juga perlu mempunyai tanggungjawab sosial untuk memastikan bahawa kita mengambil bahagian dan bersama-sama berusaha membangunkan Sarawak.

Mengenai pembangunan, bagaimana TVS akan menunjukkan kepada rakyat tentang pembangunan yang dilaksanakan di Sarawak melalui kaca TV?

Bagi saya, perkara yang perlu diberikan perhatian sepenuhnya adalah bagaimana seluruh rakyat menerima manfaat daripada stesen televisyen tersebut?

Saya yakin kita boleh melaksanakan rancangan ini dengan baik dan terancang yang secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada rakyat.

Melalui kaca televisyen, kami akan sentiasa berusaha memastikan rakyat dapat melihat pelbagai pembangunan yang disampaikan kepada mereka.

Di sini, saya menjelaskan bahawa pemegang taruh dan rakyat sendiri boleh menyuarakan pandangan mereka untuk merasai pembangunan tersebut.

Oleh itu, jika sesebuah negeri tidak mempunyai stesen televisyen, kita tidak akan mengetahui adakah rakyat akan mengukir senyuman kerana mereka tidak mengetahui adakah kerajaan mula membina atau menaik taraf jalan dan sebagainya.

Melalui program yang disiarkan melalui kaca televisyen, ia akan memberi impak positif kepada rakyat.

Dalam menyampaikan maklumat, seseorang pemimpin juga boleh memberikan maklumat melalui media sosial dan sebaliknya, namun pada masa yang sama rakyat gembira dengan apa-apa yang dia lihat melalui kaca televisyen. Itu akan menjadi testimoni kepada kejayaan sesebuah kerja tersebut.

Adakah melalui siaran televisyen ini, pengusaha dapat memasarkan produk tempatan mereka?

Saya bersetuju apabila anda menyatakan bahawa pengusaha dapat memasarkan produk tempatan mereka melalui inisiatif ini.

Di Sarawak, negeri kenyalang ini mempunyai pelbagai barangan yang unik dan cantik seperti koleksi keringkam, beg yang dibuat oleh kaum Penan dan banyak lagi.

Oleh itu, jika rakyat di Semenanjung melihat kecantikan dan keunikan produk Sarawak, sudah pasti ia akan menarik minat mereka untuk membeli barangan tersebut.

Hal ini juga akan membantu golongan usahawan dari Sarawak untuk memasarkan produk mereka malah dapat meningkatkan pendapatan mereka.

Akhirnya, bagaimana tuan melihat TVS dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang?

Saya berpendapat bahawa mewujudkan sesebuah organisasi media adalah untuk memberikan apa-apa yang diperlukan oleh penonton.

Kami bagi pihak TVS amat mengalu-alukan maklum balas daripada penonton untuk memperbaiki kelemahan dalam kualiti siaran kami.

Jika terdapat sebarang cadangan tentang bagaimana kami hendak memperbaiki kelemahan tersebut, kami akan menerima dengan hati yang terbuka.