KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.

Anwar yang tiba dengan kereta berwarna hitam memasuki Istana Negara pada 10.25 pagi melalui Pintu 2 Istana Negara.

Presiden PKR itu meninggalkan Istana Negara pada pukul 11.30 pagi, tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media dan hanya melambai tangan dari dalam kereta dinaikinya.

Anwar dijadual mengadakan sidang media pada pukul 2 petang di Hotel Le Meridien bagi memaklumkan hasil pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam jemputan media menerusi WhatsApp hari ini menyebut: “Harap maklum bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan satu sidang media khas berkenaan satu pengumuman penting pasca sesi menghadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.”

Terdahulu, kehadiran Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu dinantikan pengamal media yang telah berkumpul di sekitar pintu utama Istana Negara sejak 8 pagi lagi.

Pada Khamis, Anwar dilaporkan berkata Al-Sultan Abdullah telah memperkenankan untuk beliau menghadap Seri Paduka Baginda hari ini.

Pada 23 Sept lalu, Anwar dalam satu sidang media mendakwa beliau mendapat sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ daripada Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

— BERNAMA