KUALA LUMPUR: Meningkatkan keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan komunikasi digital di negara ini seharusnya menjadi salah satu bidang tumpuan utama dalam Belanjawan 2021 yang akan datang kerana pandemik kesihatan telah mempercepat digitalisasi dan memerlukan kepercayaan.

Pakar dan penggiat industri percaya bahawa penerapan e-dagang telah meningkat dengan ketara sejak penularan pandemik dan oleh itu, infrastruktur digital, termasuk internet, revolusi industri 4.0 (IR 4.0) dan 5G perlu diperhalusi untuk penggunaan yang lebih baik.

Pengasas dan rakan pengurusan kumpulan Thought Partners Group Consulting (TPG), Abi Sofian Abdul Hamid berharap kerajaan akan berusaha mendapatkan pemain utama untuk meningkatkan perkhidmatan komunikasi digital bagi memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan.

“Masalah “drop calls’’ masih lagi wujud walaupun ia tidak seharusnya berlaku pada masa ini,” kata beliau kepada Bernama, baru-baru ini.

Justeru, beliau menambah terdapat banyak faktor keselamatan yang perlu dipertimbangkan.

Pengguna digital perlu berhadapan dengan penipuan e-dagang yang teruk dalam jangka masa panjang sekiranya keselamatan tidak dilaksanakan dengan dengan baik, katanya.

Menurut satu laporan berita baru-baru ini, ia menyatakan penjenayah turut berleluasa mengambil kesempatan semasa perintah kawalan pergerakan berlangsung dengan kes penipuan e-dagang meningkat kepada 2,500 manakala mangsa kerugian RM17 juta antara 18 Mac dan 4 Ogos.

Data Commerce.Asia Enterprise juga menunjukkan urus niaga e-dagang melonjak 1.380 peratus pada bulan Ogos 2020 berbanding setahun yang lalu kerana sekatan yang dikenakan untuk membendung penyebaran COVID-19 telah mempercepat penyesuaian tabiat berbelanja/beli-belah dan penggunaan dalam talian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Oleh itu, dengan semakin banyak rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup digital, terutama untuk barang-barang penting pada masa krisis, Abi menegaskan transformasi teknologi untuk IR 4.0 mesti diteruskan dan harus dipercepat.

Menurut Analisis E-Dagang GlobalData, pasaran e-dagang Malaysia dianggarkan mencatat pertumbuhan 24.7 peratus tahun ini.

Pasaran dijangka mencapai RM51.6 bilion menjelang 2024, meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 14.3 peratus antara 2020 dan 2024.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) (Jaringan Industri & Pengkomersialan) Dr Shahrin Nasir berkata digitalisasi juga harus dilaksanakan dalam pengangkutan awam dengan bantuan “internet of things” (IoT) dan kecerdasan buatan sesuai dengan mobiliti pengguna.

“Oleh kerana banyak organisasi telah menyesuaikan diri untuk bekerja dari rumah sebagai normal baru, pergerakan manusia juga telah sedikit berubah.

“Oleh itu, konsep pergerakan baharu harus ada,” katanya, sambil menambahkan bahawa Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan pada 6 Nov, juga perlu mempertimbangkan untuk memperkenalkan konsep untuk perkhidmatan pengangkutan agar sesuai dengan pergerakan pengguna.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz telah menyatakan bahawa meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui data dan digitalisasi bagi menambahbaik kecekapan pelaksanaan akan menjadi antara empat prinsip utama Belanjawan 2021.

Fokus yang lebih besar untuk mempercepat peralihan ke ekonomi digital, terutama dalam bidang meningkatkan infrastruktur untuk pelaburan di seluruh negara adalah salah satu strategi utama, katanya pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2020.

Strategi berkenaan merangkumi inisiatif seperti Jalinan Digital Negara atau JENDELA dan Identiti Digital Nasional, tambahnya.