SELAIN menjaga kebajikan dan kesejahteraan golongan warga emas, inisiatif Kenyalang Gold Card (KGC) menarik golongan warga emas untuk turut serta dalam sukan boling.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, golongan warga emas yang mempunyai KGC akan mendapat diskaun sebanyak 10 peratus dalam sukan boling.

“Dengan adanya pendekatan KGC ini, pihak pengurusan Megalanes Sarawak dengan kerjasama Persatuan Tenpin Bowling Para Negeri Sarawak (PTBPNS) akan berusaha untuk menyediakan diskaun tersebut kepada golongan warga emas.

“Melihat kepada perkara ini, ia merupakan situasi menangmenang antara kedua-dua pihak tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, lebih 200 peserta telah mengesahkan penyertaan penganjuran Karnival Boling PBA Sarawak.

Fatimah berkata, penganjuran karnival tersebut turut disertai oleh golongan kurang upaya (OKU).

“Dalam acara tersebut, saya sangat berbangga dengan peserta dari golongan ini kerana sentiasa berusaha untuk mengambil bahagian dalam sukan boling.

“Sebagai rakyat, kita perlu membuang tanggapan dimana golongan tersebut tidak mempunyai keupayaan dalam bersukan dan digantikan dengan tanggapan yang positif bahawa mereka mempunyai keupayaan dalam bersukan,”jelas beliau.

Fatimah juga menjelaskan bahawa karnival yang dianjurkan tersebut bukan disertai oleh atlet para Sukma sahaja, namun penyertaan tersebut dibuka kepada orang ramai.

“Ini merupakan strategi yang baik kepada atlet kerana mereka akan dapat bersaing dengan peserta biasa yang bukan dikalangan kelompok atlet.

“Kesungguhan para atlet yang sentiasa membuat latihan dan tidak berputus asa pastinya akan memberi impak yang positif terhadap pertandingan mereka nanti,” katanya.