KETIKA dunia menunggu penuh harapan kemunculan vaksin, rakyat Malaysia resah dengan kemunculan penularan Covid-19 gelombang ketiga.

Kini, dunia melepasi angka satu juta kematian, menjadikan usaha untuk menghasilkan vaksin berkesan dan selamat lebih mustahak.

Pakar kesihatan awam terus bertindak memberi nasihat dengan berhati-hati dan mematuhi langkah pencegahan semasa.

Di Malaysia, kes semakin melonjak, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap gelombang ketiga.

Gelombang ketiga penularan Covid-19 yang sedang melanda negara sejak awal Oktober, disifatkan lebih mencabar namun terkawal berbanding gelombang pertama dan kedua pandemik berkenaan.

Penularan gelombang baharu yang melibatkan beberapa kluster di Sabah dan Kedah itu disebabkan virus Covid-19 dengan mutasi jenis D614G, yang lebih mudah merebak kerana kadar kebolehjangkitannya lebih tinggi.

Gelombang ketiga Covid-19 melanda Malaysia sejak 1 Oktober lalu yang menyaksikan jumlah kes baharu melonjak kepada tiga angka untuk sembilan hari berturut-turut dengan kes tertinggi sebanyak 691 kes pada 6 Oktober.

Ahad lalu kes melonjak 561 kes, menjadikan keseluruhan 15,657 kes setakat Ahad.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 4,587 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Negara harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku iaitu pengajaran utama ialah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai pencetus utama Covid19.

Sejak awal-awal lagi, ramai penganalisis menduga kelangsungan pilihan raya ini akan mengundang sesuatu yang negatif terhadap pembendungan penyebaran Covid-19 di negara kita.

Ketika PRN Sabah sebagai contoh, pelanggaran SOP dilihat cukup jelas. Penjarakan fizikal tidak diamalkan sepenuhnya.

Individu yang hadir juga ramai berada dalam jarak dekat iaitu kurang satu meter.

Kempen PRN Sabah jika dilihat cukup meluas membabitkan jumlah besar penyokong parti politik termasuk dari Semenanjung.

Ironinya, adakah benar-benar perlu bagi penyokong parti untuk datang ke Sabah?

Adakah ia mempunyai kesan besar dan sejauh manakah penyokong serta ahli parti dari Semenanjung memahami dan mengetahui lokasi atau keadaan sebenar Covid-19 di Sabah?

Hakikatnya, kawalan ketat bersesuaian norma baharu perlu terus dikuatkuasakan bagi mengelak apa yang berlaku akibat PRN Sabah berulang.

Di samping itu, sikap bertanggungjawab dalam kalangan seluruh rakyat di negara ini amatlah penting.

Ini bukanlah masa untuk menuding jari, atau saling menyalahkan.

Apa yang berlaku, biarkanlah berlalu, jadikan ia sebagai iktibar dan pengajaran untuk menghadapi hari-hari mendatang.

Sebagai rakyat, kita juga tidak boleh mementingkan diri sendiri, sehingga mengabaikan orang lain.