MEDIA sosial kini sudah menjadi sebahagian daripada hidup manusia yang berfungsi untuk berkomunikasi dari jauh. Di sebalik manfaat media sosial, tidak dinafi kan media sosial turut memberi kesan kepada kesihatan mental manusia.

Ini kerana media sosial dilihat menjarakkan hubungan manusia secara fizikal sehingga seseorang itu lebih suka menghabiskan masa dengan media sosial.

Menurut kajian, pakar mendapati media sosial sebenarnya memberi kesan negatif ke atas kesihatan mental manusia.

Masalah Mental

Antara kesan negatif itu ialah kemurungan, kegelisahan, kesedihan melampau dan kesunyian berpunca daripada penggunaan media sosial tidak terkawal.

Selain itu, hantaran di media sosial kadang-kadang mengelirukan sehingga anda mempercayai perkara yang tidak benar.

Ini menyebabkan anda mengalami kerisauan yang tidak berasas akibat terpengaruh hantaran di media sosial.

Anda juga mungkin menganggap kehidupan orang lain lebih baik daripada diri anda sehingga mengurangkan keyakinan diri anda.

Siber Buli

Siber buli antara masalah utama yang dihadapi pengguna media sosial disebabkan perbezaan pendapat atau tersilap tutur kata. Sebagai contoh, seseorang itu mengeluarkan kata tidak sepatutnya sehingga diserang oleh warganet dengan kata nista dan cacian.

Ini menyebabkan individu yang dikecam itu mengalami emosi yang tertekan sehingga menjejaskan kehidupan sehariannya. Oleh itu, penggunaan media sosial perlu dikawal dengan sepenuhnya supaya ia tidak mempengaruhi pemikiran anda.