KUCHING: Penduduk Luban Ulu di Betong, sebuah perkampungan luar bandar Sarawak yang terletak kira-kira 270 kilometer (km) dari sini, kini dapat menikmati liputan internet berkelajuan tinggi dengan adanya menara telekomunikasi SMART yang dibina oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

SMA dalam satu kenyataan memaklumkan menara yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru itu bertujuan menyediakan kemudahan bagi membolehkan penduduk luar bandar di kawasan itu menikmati liputan rangkaian 3G dan 4G.

Menurutnya, menara berkenaan merupakan yang pertama di negara ini yang menggunakan platform Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN) yang mempunyai kemampuan untuk menampung beberapa operator perkhidmatan talian dalam satu saluran pemancar untuk memenuhi pangkalan pengguna mereka.

“Pendekatan ini berbeza dengan amalan konvensional dengan setiap penyedia perkhidmatan memasang sistem rangkaian rumah sendiri di menara telekomunikasi. Bergantung pada kawasan, menara SMART ini mampu memberikan liputan kelajuan jalur lebar yang cepat hingga radius meliputi radius 3 km, ” katanya.

SMA menjelaskan, pendekatan platform MOCN ini dipilih setelah mempertimbangkan kerumitan operasi dan struktur kos penggunaan telekomunikasi luar bandar, yang tidak hanya akan mengoptimumkan sumber, malah menyediakan perkhidmatan pemasangan dan penyelenggaraan yang lebih menjimatkan.

Menara Luban Ulu SMART menjadi infrastruktur digital pertama daripada 300 menara yang dirancang dibina oleh SMA di kawasan pedalaman menerusi program menara SMA 300 di bawah Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022.

Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak berkata badan itu akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan semua penyedia perkhidmatan mudah alih untuk meningkatkan hubungan digital di kawasan pedalaman Sarawak.

“SMA sentiasa menekankan hubungan erat antara sektor swasta dan awam bagi membolehkan Sarawak terus melonjak ke arah ekonomi digital,” tambahnya.

SMA adalah badan pengawalseliaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Ordinan Pihak Berkuasa Lembaga Multimedia Sarawak 2017, dengan matlamat utama untuk menerajui, mengawasi dan memudahkan pembangunan dan pelaksanaan inisiatif komunikasi, multimedia dan insiatif ekonomi digital Sarawak.– BERNAMA