KOTA SAMARAHAN: Taman Tema Realiti Maya, D-Virtual Park di sini akan menjadi platform untuk mendidik khususnya golongan muda berjinak-jinak dengan teknologi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, lokasinya di sebuah bandar ilmu juga amat bersesuaian bagi membolehkan para pelajar universiti amnya untuk meneroka dunia realiti maya (VR).

“Ini (D-Virtual Park) akan menjadi makmal bagi anak kita untuk mempunyai pengalaman sebenar dalam VR, maka mereka akan menganalisisnya.

“Jadi ini adalah sebahagian daripada kesedaran pendidikan untuk pelajar kita,” katanya ketika berucap merasmikan D-Virtual Park di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang juga Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengerusi Kumpulan Serba Dinamik Berhad Datuk Abdul Kadier Sahib.

FOTO: HAMIDI SUBARI

Abang Johari juga berharap khususnya pelajar universiti di sini dapat memanfaatkan kemudahan di D-Virtual Park untuk meneroka ilmu VR dan Realiti Tambahan (AR).

“Sebenarnya ini hanya khayalan melalui simulasi dan jika anda belajar penerbangan, juruterbang sekarang ini hanya mengendalikan peranti dan juga simulator dengan apa yang ada di skrin.

“Apa yang berlaku sekarang ialah VR dan AR ini menjadi sebahagian daripada kehidupan kita,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, D-Virtual Park yang dibangunkan oleh Serba Dinamik juga selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak yang kini sedang meningkatkan infrastruktur digital.

Katanya, inisiatif berkenaan secara tidak langsung akan membantu melonjakkan Sarawak ke era Revolusi Industri 4.0.

D-Virtual Park merupakan taman tema VR dan AR yang pertama di Borneo dengan terdapatnya Studio Kreatif dan kemudahan Mini Esports Hub D-Arena.

FOTO: HAMIDI SUBARI