KOTA SAMARAHAN: Pelancaran Taman D-Virtual di sini oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, semalam merupakan satu kaedah dalam mempromosikan Revolusi Industri 4.0 kepada rakyat di Sarawak.

Ini dikukuhkan lagi dengan termeterainya empat memorandum persefahaman (MoU) Serba Dinamik Berhad dengan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Centexs, Persatuan E-Sukan Sarawak (Sesa), Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) dan StartUp Borneo dan Women Rise Malaysia, semalam.

MoU antara Serba Dinamik Group Berhad bersama Centexs dan SDEC adalah untuk memperkasakan Sarawak dalam ekonomi digital dengan memanfaatkan kegunaan teknologi serta mempromosikan keterbukaan digital dalam kalangan peniaga Bumiputera B40, belia dan wanita.

MoU kedua antara Serba Dinamik Group Berhad dengan Sesa adalah untuk pembangunan program e-sukan yang akan menarik ramai bakat di Sarawak dengan kemudahan yang ada pada Hub Mini D-Arena E-Sukan dalam meningkatkan industri e-sukan serta memberikan peluang dalam pembangunan teknologi (AR/VR) dan e-sukan.

Kerjasama antara Serba Dinamik IT Solutions (SDIT) pula untuk mempromosikan dan memperkasakan keterbukaan digital untuk wanita dalam teknologi dan perniagaan di Sarawak dengan mewujudkan kerjasama dengan memanfaatkan Serba Digital Innovation Studio serta pusat JWKS.

FOTO: HAMIDI SUBARI

Manakala MoU keempat antara StartUp Borneo Malaysia dan Women Rise Malaysia adalah untuk mempromosikan dan memperkasakan keterbukaan digital untuk wanita dalam teknologi dan perniagaan di wilayah Borneo.

Taman D-Virtual menyediakan 10 tarikan dalam taman alam mata termasuk VR Elevation D’luxe, VR Speed Cruiser, VR D’Battle Sip, The Enchanted Chamber, VR Knight Rider, VR Gatling Gun, VR Quad Squad, VR Trekker, VR Gyrate dan VR Giant Slide. Selain itu, Taman D-Virtual mempunyai kemudahan seperti Kafe Giga Virtual, Pusat E-Sukan, Ruang D-Hive, Teater Hologram, peralatan sewaan dan sebagainya.

Orang ramai dapat menikmati kemudahan permainan alam maya di Taman D-Virtual pada setiap hari bermula dari 10 pagi hingga 10 malam dengan pakej tiket serendah RM10.

FOTO: HAMIDI SUBARI