KUCHING: Seorang remaja berusia 18 tahun dihantar ke Sekolah Henry Gurney di Puncak Borneo atas kesalahan merogol teman wanitanya.

Remaja lelaki berkenaan merupakan seorang penganggur mengaku bersalah merogol teman wanitanya sehingga melahirkan seorang bayi perempuan.

Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga menetapkan tertuduh dihantar ke sekolah tersebut sehingga mencapai usia 21 tahun.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Siasatan mendapati bahawa tertuduh dan mangsa telah mengadakan hubungan seks di rumah sewa di Jalan Sungai Maong Hilir, di sini pada Jun 2019 dan ketika itu mangsa berusia 15 tahun, manakala tertuduh 17 tahun.

Fakta kes mendedahkan, mangsa telah dibawa oleh bapanya ke sebuah klinik di sini pada 2 Mac lalu untuk mendapatkan rawatan dan mendapati mangsa ketika itu mengandung 29 minggu enam hari (tujuh bulan).

Ekoran daripada itu, laporan polis telah dibuat oleh seorang doktor wanita dari klinik tersebut dan tertuduh ditahan pada 3 Mac lalu.

Keputusan makmal juga mendapati ujian asid deoksiribonukleik (DNA) turut mendedahkan bayi berkenaan adalah anak kandung tertuduh dan mangsa.

Kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.