KUCHING: Kerajaan Sarawak sedar bahawa dalam era dunia digital, kepentingan budaya inovasi adalah sangat signifikan untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri yang bersaing dan inklusif dari segi pelaksanaan inisiatif pembangunan secara bersepadu ke arah pencapaian ekonomi digital menjelang 2030.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Datuk Dr Sabariah Putit berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri telah ditubuhkan untuk mempermudahkan strategi pemulihan ekonomi pasca-Covid-19 sehingga 2030 dengan penekanan kepada ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar.

“Kerajaan Sarawak telah mengkaji semula strategi pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 kesan pandemik Covid-19.

“Kajian ini membolehkan Sarawak kekal berdaya tahan, menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu dan memangkin pertumbuhan dan pembangunan ekonomi masa depan,” jelasnya pada perasmian Hari E-Produktiviti dan Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak 2020 melalui webinar dalam talian.

Sepuluh sektor yang menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak ialah pusat data raya dan inovasi, perlombongan, produktiviti tahap tinggi sektor pertanian komersial dan komoditi, perkilangan hiliran nilai tinggi.

Ia diikuti menghijaukan semula Sarawak melalui industri penanaman hutan secara agresif, kepelbagaian pelancongan, perkhidmatan sosial berkualiti untuk rakyat, tenaga boleh diperbaharui, penyelarasan masa depan pendidikan dan sumber manusia dan pembangunan Insfratruktur asas.

Dalam pada itu, Sabariah berkata, tema “Inovasi Untuk Penyampaian Perkhidmatan Cemerlang” selari dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk mendedahkan inovasi dan kreativiti terutama dalam kalangan penjawat awam untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan di Sarawak.

Beliau berharap agar program seumpama ini dapat dijalankan di seluruh peringkat Sarawak selari dengan memberi penekanan kepada 10 Sektor yang telah dikenalpasti.

Kata Sabariah, sebagai langkah berterusan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing dalam persekitaran yang kompetitif dan mencabar hari ini, setiap organisasi dan syarikat perlu secara berterusan meningkatkan kecekapan perkhidmatan supaya terus kekal relevan.

“Maka satu pendekatan sistematik diperlukan untuk melahirkan pemikiran yang inovatif dan kreatif.

“Penambahbaikkan bukan sahaja dalam memperkenal produk atau perkhidmatan baharu tetapi untuk memperbaiki perkhidmatan sedia ada supaya lebih efisien dengan kos yang lebih rendah dan memberikan kepuasan kepada pelanggan serta pengguna,” ujarnya.

Turut sama hadir pada webinar itu ialah Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Mohamad Shahabuddin Omar dan Pengarah MPC Wilayah Sarawak, Sarimah Misman.