KUCHING: D-Virtual Park merupakan usaha Kumpulan Serba Dinamik Berhad dalam mentransformasikan pendigitalan Sarawak, kata Pengerusi Kumpulan Serba Dinamik Berhad Datuk Abdul Kadier Sahib.

Katanya, ia sekali gus merealisasikan agenda ekonomi digital membentuk masyarakat yang selari dengan Revolusi Industri 4.0 dan perkembangan dunia hari ini.

“Dalam erti kata lain, D-Virtual Park menyokong agenda Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam strategi ekonomi digital untuk Sarawak.

“Ia dibina dengan konsep infrastruktur teknologi digital terbaik, yang memfokuskan pembangunan terkini dalam teknologi realiti maya, teknologikal inovasi dan hiburan digital di Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian D-Virtual Park yang disempurnakan oleh Abang Johari di sini, semalam yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang juga Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut Abdul Kadier, D-Virtual Park merupakan taman tema realiti maya (VR) dan realiti tambahan (AR) yang pertama di Borneo dengan terdapatnya Studio Kreatif dan kemudahan Mini E-sports Hub D-Arena.

“Selain daripada taman tema VR dan AR dan Studio Kreatif yang pertama di Borneo, kemudahan seperti Mini E-sports Hub D-Arena yang dibangunkan bersama Persatuan E-sukan Sarawak (SESA) juga menjadi tarikan bagi bakat muda dan usahawan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Serba Dinamik turut memperkenalkan D-Tamu sebagai pasar “digital tamu” selari dengan strategi ekonomi digital Sarawak untuk membangunkan komuniti di kawasan luar bandar menerusi penggunaan teknologi.

“Ini untuk menyediakan peluang kepada usahawan tempatan untuk merapatkan lagi jurang digital antara masyarakat,” katanya.