KUALA LUMPUR: Institusi perbankan Malaysia lebih tangkas dan agak maju dari segi teknologi, sistem serta pemprosesan yang dilaksanakan bagi menangani penipuan kewangan berbanding negara-negara jiran di pasaran Asia Tenggara, demikian menurut seorang pakar teknologi.

Pengarah Urusan GB Group plc (GBG) Asia Pasifik, June Lee bagaimanapun menegaskan, usaha mengekang jenayah itu tidak hanya membabitkan teknologi terkini dan terbaik, sebaliknya bertumpu kepada masyarakat, pemprosesan serta dasar yang digabungkan dengan kecekapan teknologi.

“Bagi saya, negara ini cemerlang dari segi usaha pendidikan berterusan kepada orang ramai mengenai apa yang sedang berlaku serta (hebahan mengenai) jenis-jenis penipuan terbabit.

“Bank Negara Malaysia pula sebagai pihak pengawalselia, telah mengetengahkan dasar-dasar Pengurusan Risiko Dalam Teknologi (RMiT) bagi memastikan bank-bank mengikuti piawaian ditetapkan apabila melancarkan sebarang produk digital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi webinar bersempena pelancaran laporan pertama GBC ‘Future-proofing Fraud Prevention in Digital Channels’ di sini, semalam.

Laporan itu menganalisis impak penipuan terhadap institusi kewangan di enam negara serta teknologi yang ingin dilaksanakan bagi mengekang ancaman berkaitan serta skala menangani aliran berkenaan.

Ia turut mengetengahkan penemuan utama kajian dan aliran pendigitalan serta pelaksanaan teknologi menangani jenayah penipuan oleh institusi berkenaan di Malaysia.

Ini termasuk unjuran peningkatan kes penipuan pada 2020-2021 dengan 54 peratus membabitkan jenayah scam manakala 51 peratus melibatkan jenayah kecurian maklumat peribadi atau identiti.

“Bagi menangani ancaman yang meningkat ini, sekurang-kurangnya 60 peratus institusi kewangan di Malaysia telah meluluskan peruntukan membabitkan pelaburan dalam penyelesaian penipuan siber tahun ini,” katanya.

Lee berkata, golongan penjenayah siber juga terbukti semakin inovatif kerana mempunyai pelaburan besar serta kemudahan teknologi semasa yang menjadikan jenayah itu satu perniagaan menguntungkan.

“Keupayaan mereka memberi impak kepada bank-bank dan masyarakat adalah sesuatu yang amat membimbangkan.

“Pada masa sama, masih belum dapat dipastikan secepat mana institusi kewangan ini dapat mengatasi cabaran menangani ancaman ini walaupun sebahagian besar daripadanya di landasan tepat melaksanakan teknologi pengurusan jenayah penipuan,” katanya.

Malah, Lee menyifatkan masih banyak langkah yang perlu diambil bagi pelaksanaan strategi kekangan jenayah penipuan siber yang lebih berkesan di masa hadapan berikutan tindak-tanduk penjenayah yang inovatif.

“Oleh itu terpulang kepada kita perlu bersatu memerangi jenayah kewangan ini,” katanya.

GBG merupakan pakar teknologi global dalam usaha menangani ancaman penipuan selain terbabit dalam pengurusan, pengesahan identiti dan risikan data lokasi.– BERNAMA