MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran, yang dijumpai semasa memasuki Sungai Miri. Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Md.

Fauzi Othman berkata, bot terbabit ditahan pada jarak sekitar 2.4 batu nautika dari Miri selepas menerima maklumat orang awam.

Menurutnya, penahanan itu dilakukan oleh Maritim Malaysia yang melaksanakan Operasi Permai sekitar jam 1.10 pagi, semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut tidak memiliki lesen daripada Jabatan Laut.

“Susulan itu, bot dan empat kru lelaki warga tempatan berumur antara 29 hingga 62 tahun ditahan dan diiring ke jeti Pusat Tahanan Vesel untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mempamerkan lesen bot semasa diperiksa dan jika disabit kesalahan, tekong boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

Fauzi menegaskan kepada komuniti maritim bahawa Maritim Malaysia akan terus meningkatkan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan negara walaupun keadaan cuaca sekarang yang tidak menentu terutama fasa peralihan monsun Barat Daya yang bermula 24 September lalu hingga awal November ini.

“Komuniti maritim juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan di laut dengan mengamalkan pemakaian jaket keselamatan ketika turun ke laut,

” ujarnya. Sebarang aduan, maklum balas serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085- 418204 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082- 432544 yang beroperasi 24 jam.