KUCHING: Seorang buruh warga asing yang mengaku bersalah terhadap dua kesalahan jenayah iaitu menceroboh serta mencederakan mangsa dijatuhakn hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret semalam.

Majistret Mohamad Syukri Mokhtar mengarahkan warga Indonesia berusia 20 tahun dijatuhkan hukuman penjara bermula semalam dan mahkamah mengarahkan tertuduh dirujuk ke pejabat Imigresen setelah selesai menjalani kedua-dua hukuman penjara berkenaan.

Bagi kesalahan pertama iaitu melakukan kecederaan terhadap pengadu, tertuduh yang berusia 20 tahun dijatuhkan hukuman penjara enam bulan.

Tertuduh telah mendatangkan kecederaan terhadap mangsa pada jam 4.30 petang di sebuah rumah di Taman Tabuan Desa pada 6 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh juga dijatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana menceroboh kawasan rumah mangsa yang sama pada hari kejadian.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian pengadu mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali telah menceroboh kawasan rumahnya dan ketika dia hendak meminta tolong daripada jirannya mangsa telah ditumbuk lelaki berkenaan di bahagian muka.

Susulan kejadian, tertuduh telah ditangkap beberapa jiran pengadu sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lelaki tempatan yang tidak mempunyai lesen memandu ketika memandu sebuah kereta Perodua Bezza melawan arus telah didenda RM3,000 ataupun penjara tiga bulan.

Majistret Mohamad Syukri Mokhtar mengarahkan lelaki berusia 23 tahun itu didakwa kerana menghalang tugas anggota penguat kuasa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Tertuduh telah melakukan kesalahan itu pada jam 12.40 pagi pada 2 September lalu di Jalan Stutong Baru di sini.