TATKALA kita dilanda pandemik Covid-19 yang terus membimbangkan, penyakit rabies yang pernah menghantui Sarawak sebelum ini seakanakan tidak kedengaran lagi.

Padahal penyakit yang meragut nyawa ini kini juga masih berlaku walaupun tidak lagi pada tahap serius. Walaupun boleh dikatakan kes rabies sudah begitu terkawal tetapi ia juga tidak boleh dipandang ringan khususnya oleh masyarakat.

Sebaliknya kesedaran masyarakat perlu masih berada pada tahap tertinggi bagi mengelak berlaku atau berleluasanya semula jangkitan anjing gila ini.

Justeru keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam memerangi rabies wajar dipuji apabila walaupun menumpukan untuk menghadapi Covid-19, namun perhatian masih diberikan dalam usaha menangani rabies.

Ini jelas menerusi inisiatif berterusan yang dilaksanakan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti suntikan vaksin rabies, pelesenan serta pemasangan cip mikro ke atas haiwan peliharaan khususnya anjing.

Sempena sambutan Hari Rabies Sedunia baru-baru ini, pelbagai aktiviti turut diadakan melibatkan PBT serta agensiagensi kerajaan lain bersama-sama masyarakat setempat.

Rabies – Foto Bernama

Ini untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesan rabies terhadap manusia dan haiwan, memberikan maklumat dan nasihat tentang cara mencegah penyakit kepada masyarakat yang berisiko dan meningkatkan usaha dalam pengendalian rabies.

Antara yang terlibat ialah Majlis Perbandaran Padawan (MPP) apabila membuka kaunter pelesenan untuk anjing peliharaan pada hari tersebut. Hasilnya, kaunter MPP telah menerima dan mengeluarkan sebanyak 27 permohonan anjing peliharaan.

Di MPP, kadar bayaran anjing peliharaan adalah sebanyak RM10 bagi anjing yang telah dimandulkan manakala RM30 dikenakan untuk anjing yang belum dimandulkan.

Sebagai makluman, 99 peratus kes rabies berpunca daripada anjing dengan 40 peratus mangsa adalah terdiri daripada kanak-kanak. Virus rabies menjangkiti manusia melalui luka gigitan, luka terbuka pada kulit dari air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan tersebut kepada manusia.

Masa inkubasi rabies adalah tiga minggu hingga dua bulan dari gigitan haiwan rabies sehingga timbul gejala. Jika terkena jangkitan, pesakit hendaklah mencuci bekas gigitan dengan air mengalir selama 15 minit dan dicuci dengan sabun bagi mengurangkan risiko jangkitan sebelum membawa ke klinik berdekatan dengan kadar segera.

Sehubungan itu, masyarakat disarankan agar terus mengambil inisiatif dalam mencegah wabak rabies terjadi dengan memberi vaksin antirabies dan melesenkan anjing peliharaan mereka agar dapat mengurangkan rabies merebak.

Pemilik anjing yang telah memvaksinkan anjing juga disaran agar tidak melepaskan anjing peliharaan sesuka hati kerana ia boleh mengancam keselamatan orang di samping berisiko terkena jangkitan rabies sekiranya anjing peliharaan bercampur dengan anjing liar lain.