MIRI: Sekolah Cina terbuka kepada semua kaum, bahkan jumlah ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah aliran Cina bertambah setiap tahun, jelas Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin.

Menurutnya, Sekolah Kebangsaan Chung Hua Tudan misalnya mempunyai pelajar daripada 28 etnik dan menjadi contoh sekolah pelbagai kaum khasnya di bandar raya Miri.

“Tiada sebarang penolakan permohonan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah aliran Cina bahkan jumlah pelajar bumiputera terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan insentif kepada guru dan kakitangan sokongan Sekolah Menengah Jalan Riam (RRSS) semalam.

Adun Senadin itu berkata, paling menarik, ibu bapa bumiputera Sarawak menyedari kepentingan penguasaan tiga bahasa.

“Penguasaan bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Mandarin memberi kelebihan kepada pelajar lebih-lebih dalam pasaran pekerjaan,” ujarnya.

Kerajaan Sarawak tambah Kim SHin turut menyediakan peruntukan khas kepada sekolah aliran Cina serta mengiftiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Sehubungan itu, Kim Shin menyarankan agar komuniti Cina terus memberi sokongan dan bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan kepentingan komuniti itu terus dijaga.

“Banyak dasar kerajaan yang memperjuangkan kepentingan komuniti Cina seperti menyediakan peruntukan RM1 juta setiap tahun demi untuk pendidikan,” jelasnya lagi.

Tambah Kim Shin, Sarawak Dong Zong telah menerima peruntukan RM1 juta setiap tahun bermula 2015 yang meningkat kepada RM9 juta pada tahun ini.

“Daripada jumlah itu, RM8 juta diagihkan kepada 14 sekolah aliran Cina sementara RM1 juta lagi untuk insentif kepada guru dan kakitangan,” ujarnya.

Dalam majlis itu, Kim Shin menyampaikan insentif keseluruhan berjumlah RM96,600 kepada 81 guru dan 10 kakitangan sokongan. Turut hadir Pengerusi Bersama RRSS Datuk Seri Law Kiu Kiong dan Ketua Pegawai Eksekutif RRSS Dr Pauline Ho.