PERNAHKAH anda sebagai ibu bapa menghadapi situasi ini?

Mama, cikgu cakap kena buat macam ini… cikgu punya betul, Mama punya salah. Ini adalah satu situasi yang sering kita temui walaupun ibu atau bapanya seorang guru, tetapi anak kita tetap mengatakan “guru”nya betul, kita salah.

Ini menunjukkan anak kita sedang belajar sesuatu iaitu mengambil teladan daripada guru.

Anak kita menganggap guru merupakan suri teladan (role model) yang sentiasa benar dan betul.

Sekolah merupakan institusi sosial yang boleh membina sahsiah dan sikap murid.

Sahsiah yang dibentuk didasari amalan terbaik yang diteladani daripada guru dan sukatan pelajaran boleh menjadi acuan kepada murid-murid.

Namun tugas membentuk sahsiah anak-anak ini bukan digalas oleh guru semata-mata. Ini kerana guru mendidik lebih daripada 20 orang pada satu masa.

Oleh itu keterbatasan waktu mungkin menjadi halangan untuk guru membentuk sahsiah murid secara berfokus. Maka dengan memberi teladan yang baik seperti nasihat, bimbingan boleh membantu murid-murid membina keperibadian positif, seperti sikap yang baik dan perangai yang baik.

Bagi memantapkan proses pembinaan sahsiah dan kemenjadian sikap terpuji dalam kalangan anak-anak, seharusnya ada gandingan yang seiring antara guru-guru dengan ibu bapa. Ini sangat penting bagi membolehkan didikan yang berterusan daripada guru di sekolah disambung oleh ibu bapa di rumah.

Terdapat beberapa cadangan yang boleh diamalkan bersama oleh guru-guru dan ibu bapa untuk membentuk sikap anak-anak kita.

Pertama ibu bapa harus memastikan tidak ada kontradiksi atau perbezaan ketara antara teladan guru dengan amalan ibu bapa di rumah.

Contohnya, merokok. Jika di sekolah murid-murid tidak melihat guru merokok secara terbuka atau sememangnya tidak ada guru yang menghisap rokok di sekolah. Jadi ia membina satu persepsi dalam kalangan anak-anak kita bahawa merokok ini tidak baik.

Jadi bapa haruslah menyelaraskan persepsi anak ini dengan tidak merokok di rumah. Apabila anak melihat ada persamaan sikap, maka anak-anak akan mengatakan betul merokok ini membahayakan kesihatan dan tidak mahu mengamalkannya apabila dewasa kelak.

Namun jika di rumah bapa merokok secara terbuka, anak akan menjadi keliru kerana terdapat perbezaan teladan antara amalan guru dengan amalan bapa.

Kedua, pemantauan di rumah amat penting oleh ibu bapa supaya kita mengenal sikap sebenar anak-anak . Kadangkala pernah terjadi, anak-anak dikenakan tindakan disiplin, ibu bapa akan berkeras mengatakan..

“anak saya di rumah tidak pernah buat begitu… saya kenal anak saya.”

Jadi ibu bapa hendaklah bersikap terbuka dan cuba memantau sikap anak-anak. Kadangkala anak-anak kita pandai menyembunyikan sikap sebenar mereka.

Di rumah mungkin diam tetapi di sekolah dialah yang paling bising. Ini kerana ia dipengaruhi situasi yang berbeza di rumah dan sekolah serta dengan siapa dia berkawan.

Oleh itu semasa berjumpa guru pada hari permuafakatan atau hari terbuka sekolah, diharap ibu bapa banyakkan bertanya tentang sikap anak-anak, berbanding pencapaian akademik semata-mata.

Ketiga, sentiasa berhubung dengan pendidikan anak-anak. Ibu bapa mestilah melakukannya dengan memberi penekanan penting terhadap pendidikan iman, akidah, akhlak bagi menuju ke arah kemenjadian rohani dan keimanan serta ketakwaan.

Akhirnya, pendidikan kerohanian ini mampu menjurus kepada pembentukan budi pekerti, keindahan corak sosiobudaya dan pendidikan yang mematangkan remaja dalam menghadapi hidup yang penuh cabaran.

Dalam menangani cabaran remaja masa kini, kerjasama ibu bapa dan guru melalui PIBG dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan.

Komunikasi berterusan ibu bapa dengan guru dan sekolah serta sikap saling menghormati amat penting lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19.

Ini kerana guru bergantung sepenuhnya terhadap bantuan dan kerjasama ibu bapa untuk memastikan anak-anak mengikuti semua pembelajaran, tugasan dan penilaian dalam talian yang disediakan.

Tanpa kerjasama ibu bapa, akan berlaku keadaan murid tidak mengikuti pembelajaran yang disediakan.

Ini kerana tanpa guru mereka tidak dapat berbuat apa-apa, malah turut memberi impak terhadap sikap anak-anak di rumah iaitu malas untuk belajar.

Oleh itu adalah amat penting bagi ibu bapa menjadi ‘mata, kaki dan tangan’ bagi guru untuk memantau, memerhatikan dan memfasilitasi pembelajaran anak di rumah serta membina sahsiah terpuji anak-anak di rumah.

Ingatlah membina bangsa dan negara adalah kerja berpasukan bukan sepasukan.

Cikgu Emmet atau Ahmad Faizal Osman merupakan guru kanan di SK Pulau Seduku Lingga, Sri Aman.