LIMBANG: Sejumlah RM300,000 diperuntukkan untuk memajukan lagi industri tenunan di Bukit Kota.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, peruntukan itu bakal meningkatkan industri tenunan di kawasan Dun Bukit Kota yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.

“Setakat ini hanya terdapat dua pengusaha yang terlibat aktif dalam tenunan songket ini iaitu Masni Tangah dan Kertinah Abdul Karim.

“Mereka mengusahakan tenunan di rumah masing-masing dengan bantuan dari Kraftangan Malaysia, tetapi peralatannya sudah agak uzur.

“Justeru, kita masukan mereka di dalam Program Fasilitasi Pertanian (AFF) untuk membeli peralatan baharu iaitu setiap mereka menerima bantuan sekitar RM7,000 untuk peralatan membuat tenunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Perusahaan Tenunan Kain Songket di kediaman Masni Tangah dan Kerinah Abdul Karim anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Limbang.

Abdul Rahman yang juga Adun Bukit Kota berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) bercadang menempatkan pengusaha tenunan di Anjung Usahawan di Limbang.

“Kami sudah berbincang dengan MINTRED menempatkan salah satu tempat di premis itu khas untuk pengusaha tenunan ini.

“Di situ, kawasannya lebih sesuai, luas dan berfokus untuk menjadikan tenunan ini sebagai satu produk yang dapat diketengahkan untuk daerah Limbang khususnya,” tambahnya.

Menurut Abdul Rahman, menerusi bantuan yang diberikan diharap dapat menarik lebih ramai pengusaha kain songket agar dapat menandingi songket dari Brunei Darussalam dan Terengganu.