KUALA NERUS: Gandingan antara kerajaan, saintis dengan nelayan mampu memajukan industri perikanan laut dalam di negara ini, kata Pensyarah Kanan Fakulti Perikanan dan Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz.

Beliau berkata setakat ini, hasrat itu masih belum dapat dicapai kerana beberapa faktor termasuk kekangan modal, polisi kerajaan, kelemahan penggunaan teknologi serta kurangnya kajian saintifik berkaitan penerokaan sumber.

Mohd Fazrul Hisam berkata sudah sampai masanya, semua pihak berkomunikasi dan bekerjasama secara erat bagi memastikan setiap permasalahan dapat dikenal pasti dan keperluan nelayan dapat dipenuhi.

“Nelayan harus diberi kefahaman tentang polisi kerajaan secara jelas, dibantu dengan sumber modal dan teknologi perikanan yang terkini bagi memastikan mereka dapat memaksimumkan keupayaan dan hasil tangkapan.

“Selain itu, pemindahan ilmu daripada nelayan yang telah berjaya dari dalam dan luar negara juga haruslah berlaku bagi meyakinkan mereka tentang potensi perikanan laut dalam yang berbaloi untuk diterokai,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Menurut Mohd Fazrul Hisam, sumber perikanan yang terhad dan semakin menyusut setiap tahun disebabkan masalah pencemaran alam sekitar, kemusnahan habitat ikan dan penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan serta tidak terkawal (IUU) juga menjadi halangan terbesar kepada nelayan untuk menerokai laut dalam.

Sehubungan itu, katanya, komitmen penuh daripada semua pihak perlu digerakkan segera bagi menyelesaikan isu yang sudah lama berlarutan seakan tiada kesudahan.

Pada 29 Sept lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata potensi perikanan laut dalam di Malaysia belum dimanfaatkan sepenuhnya dan kebanyakan nelayan masih ketinggalan dalam aspek penerapan teknologi industri perikanan, berbanding negara jiran seperti Indonesia.

Sementara itu, Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata pihaknya telah mengambil pelbagai inisiatif untuk memperkayakan sumber ikan di perairan negeri bagi menggalakkan sektor perikanan demi kelangsungan hidup golongan nelayan.

Antaranya, program menurunkan unjam dan tukun di beberapa kawasan perikanan utama yang melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi tahun ini sahaja.

“Menurut laporan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pertumbuhan sosioekonomi Terengganu bagi tahun 2019 telah meningkat 3.3 peratus berbanding tahun sebelumnya disumbangkan oleh dua sektor iaitu pertanian dan perkhidmatan.

“Ini menunjukkan usaha kita selama beberapa tahun ini telah membuahkan hasil dan perlu diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Namun, bagi memastikan sektor perikanan di negara ini terus maju, Azman berkata kerajaan pusat perlu memberi tumpuan kepada usaha mengekang pencerobohan nelayan asing serta kerja-kerja mendalamkan muara sungai kerana ia melibatkan bidang kuasanya.

Menurut beliau, Terengganu memiliki 80 pengusaha bot laut dalam yang aktif, tetapi mereka terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di pangkalan luar seperti Tok Bali, Kelantan atau Kuantan, Pahang kerana masalah muara sungai Terengganu yang sempit dan cetek.

“Kesannya, harga ikan yang dibawa balik ke sini (Terengganu) menjadi mahal kerana melibatkan kos pengangkutan dan sebagainya. Hal ini yang menjadi rungutan rakyat kerana walaupun Terengganu dikenali sebagai negeri berasaskan perikanan, harga ikan mentah masih mahal dan agak membebankan.

“Mengenai penguatkuasaan pula, saya selalu tekankan supaya agensi terlibat seperti polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut perlu di bawah satu pengarahan kerana aset yang ada boleh digabungkan secara optimum,” katanya.